Isu Felda bukan sekadar membabitkan soal kelapa sawit, saham atau masa depan para peneroka. Yang lebih penting sekarang para peneroka dan keluarga terbabit berada dalam persimpangan: terus sokong kerajaan Barisan Nasional (BN)  atau sokong pembangkang.

Parti pembangkang cuba menangguk di air yang keruh. Mereka sedar  jika strategi betul, segala isu berkaitan Felda dapat dieksploitasikan agar undi akhirnya memihak kepada mereka.

Pembangkang cuba menembusi kawasan Felda. Dengan sekitar 120,000 peneroka di kawasan terbabit, bayangkan jika berlaku sebarang tsunami?

Kerajaan sedar akan kepentingan kawasan Felda dari segi politik . Itu sebabnya dengan pelbagai macam isu yang membelenggu Felda kini, pasti membingungkan dan merisaukan BN.

Betapa tidak, terdapat 54 kerusi daripada 222 kerusi terletak di kawasan Felda. Selama ini  kerusi terbabit merupakan kubu kuat BN.  Pada PRU-13, BN menguasai 48 kerusi, manakala pembangkang enam.

Namun PRU-14 tidak akan sama dengan PRU-13. Landskap politik sudah jauh berubah, terutama membabitkan peneroka dan keluarga mereka.

Bayangkan kesannya jika setengah daripada kerusi terbabit jatuh ke tangan pembangkang?

Kini 89 kerusi Parlimen dimenangi pembangkang, manakala BN menguasai 133 kerusi.

Setiap kerusi penting. BN tidak boleh kalah dalam sebarang kerusi Felda ketika ia bakal berdepan cabaran sengit dalam pilihan raya umum ke-14.

Pelbagai isu membabitkan kepemimpinan Felda dan isu rasuah membabitkannya mencetuskan kontroversi yang menjadi bualan setiap rakyat.

Kerajaan bertindak dengan menukar kepemimpinan untuk memastikan Felda berjaya dibawa keluar daripada kemelut yang melandanya.

Harga minyak kelapa sawit  jatuh sejak 2014  memberi kesan besar kepada Felda. Pendapatan para peneroka terjejas teruk. Saham FGV juga merudum.Daripada nilai pasaran RM10.5 bilion pada tahun 2012 menjunam kepada hanya RM5.6 bilion pada 31 Disember lalu.

Keadaan ini benar-benar memberi kesan terhadap pemegang saham terbabit, dan bagaimana mereka menanggapi kerajaan.

Itulah sebabnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu mengumumkan enam inisiatif bernilai sekitar RM1.6 bilion dengan harapan masalah yang dihadapi peneroka dapat diringankan, kalaupun tidak diselesaikan sama sekali.

Dalam keadaan sekarang, adakah kerusi di kawasan Felda masih boleh dianggap sebagai benteng BN?

Enam insentif  berkenaan oleh kerajaan, tentu merisaukan pembangkang yang cuba menembusi kawasan terbabit. Kesungguhan kerajaan membuktikan keikhlasannya untuk menyelesaikan masalah yang mencengkam.

Apakah strategi pembangkang, dan apakah strategi seterusnya BN?

Apakah langkah dan strategi bakal dilakukan Pakatan Harapan di kawasan Felda?

JIka pengundi Felda menolak BN, ini tentu bukan berita baik untuknya. Untuk menafikan tidak akan berlaku undi protes disebabkan pelbagai isu yang membelenggu mereka, tentu akan membawa risiko besar.

Warga Felda perlu memikirkan implikasi dan kesannya pada jangka panjang dengan sebaik-baiknya.

Bersediakah mereka mengambil risiko dengan mengundi pakatan yang belum pasti akan membawa kebahagiaan kepada mereka?

Atau sesungguhnya, akan berlaku tsunami politik dalam PRU-14? – Sarawakvoice