Lebih 13,000 kes rogol dalam tujuh tahun

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,272 kes rogol membabitkan remaja berusia kurang daripada 18 tahun dilaporkan sejak 2010 hingga Mei lalu, kata Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Angka ini menunjukkan terdapat sekitar 2,000 kes setahun – satu angka yang membimbangkan.

Bercakap di Dewan Rakyat semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, dalam tempoh sama, terdapat 6,014 kes cabul, 1,796 kes sumbang mahram dan 1,152 kes seks luar tabii telah dicatatkan.

Johor, jelasnya, mencatatkan kes rogol bawah umur tertinggi iaitu 2,089 kes, manakala Selangor menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes cabul dan seks luar tabii, dengan masing-masing 1,052 kes dan 235 kes.

Menjawab soalan yang dibangkitkan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang), Rohani berkata, ibu bapa tidak sepatutnya berasa malu berbincang dengan anak-anak mereka tentang beberapa aspek seks daripada mereka mengetahui perkara itu daripada orang lain.

Rohani menjelaskan, kerajaan bercadang untuk menubuhkan mahkamah khas bagi membicarakan jenayah seksual kanak-kanak di setiap negeri, selepas penubuhan pertamanya di Putrajaya.

Menurutnya keutamaan akan diberi kepada negeri yang mempunyai jumlah kes jenayah seks terhadap kanak-kanak. – Sarawakvoice