Anwar dengan mata lebam dalam Facebook ‘Friends of BN’

“Nampaknya ramai yang dah lupa hadiah yang diberikan Tun Dr Mahathir bin Mohamad kepada Anwar Ibrahim dulu. Admin cuma nak ingatkan kepada mereka jasa baik Tun kepada Anwar,” demikianlah kenyataan yang terkandung dalam Facebook ‘Friends of BN’ pagi tadi.

Kenyataan itu cukup bermakna apatah lagi ia disertakan dengan gambar yang berlaku terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir 20 tahun lalu.

Gambar Anwar si mata lebam turut mengiringi kenyataan itu.

Ramai yang bagai masih tidak percaya bahawa akhirnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memecat Anwar  sebagai timbalannya pada 1998, kini berada di pihak yang sama.

Mereka sama-sama cuba menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang pernah dipimpin mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kini, BN cuba mengingatkan rakyat tindakan yang dilakukan oleh Dr Mahathir hampir 20 tahun lalu.

Dengan sebahagian rakyat bagai tidak kisah dengan masa silam Dr Mahathir, mereka mahu kedua-dua pemimpin yang masing-masingnya menjadi pengerusi dan ketua umum Pakatan Harapan, memberi cabaran sengit kepada BN.

Namun, masih ada yang sangsi dengan Dr Mahathir yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Dr Mahathir yang dilabelkan sebagai pemimpin kuku besi dengan menyumbat banyak musuh politiknya dalam penjara, dan menutup atau menggantung akhbar dengan menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Kini pemimpin Umno dan BN mengingatkan pembangkang dan rakyat agar tidak lupa akan tindakan Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri lebih-lebih lagi pada 1998 dan 1999.

Anwar dihina dan diaibkan.

Halaman ‘Facebook Friends of BN’ memaparkan gambar Anwar dengan mata lebam.

Gambar berkenaan begitu bermakna kerana selepas dipecat Anwar telah ditumbuk.

Mahathir berkata pada satu peringkat, Anwar sendiri yang melakukan  perbuatan itu untuk menagih simpati dan sokongan rakyat.

Ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Gelombang reformasi tercetus.

Tetapi penyokong Dr Mahathir ketika itu turut menyokong apa-apa yang dinyatakan Dr Mahathir. Dr Mahathir begitu berkuasa.

Dr Mahathir diberi label sebagai mahafiraun dan mahazalim.

Anwar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 20 September selepas  mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur.

Puluhan ribu rakyat mengadakan demonstrasi jalanan menentang Dr Mahathir.

Sembilan hari kemudian, Anwar dihadapkan ke mahkamah.

Anwar telah ditumbuk oleh Ketua Polis Negara sendiri Tan Sri Rahim Noor ketika berada dalam tahanan di Bukit Aman.

Gambar Anwar si mata lebam itulah kemudiannya digunakan dalam poster ketika pembangkang berdepan dengan pilihan raya umum 1999 – yang menyaksikan undi popular BN merosot.

Mahathir telah menuduh Anwar terlibat dalam kegiatan seks songsang. Beliau kemudiannya didapati bersalah kerana meliwat oleh mahkamah, dan akhirnya disumbat ke Penjara Sungai Buloh.

Kini, Anwar terus berada di dalam penjara berkenaan kerana kes liwat kedua.

Namun, disebabkan kepentingan politik, mereka bagai bersedia melupai segala-galanya.

Sesungguhnya benarlah kata orang – tidak ada teman dan musuh abadi dalam politik – kerana yang kekal ialah kepentingan. Kepentingan mereka sekarang adalah untuk memastikan mereka dapat berada di Putrajaya selepas PRU-14 nanti. – Sarawakvoice