Wang Tak Dituntut cecah RM5.7 bilion, ada wanita dakwa dapat RM14,000

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa Wang Tak Dituntut (WTD) berjumlah RM5.7 bilion dimiliki 55 juta pemilik akaun tersimpan di Jabatan Akauntan Negara selaku pemegang amanah.

WTD tersebut dimiliki pemilik akaun bank kategori simpanan, semasa dan perniagaan, termasuk gaji, bonus, komisen, dividen bagi tempoh setahun hingga tujuh tahun, semenjak 1977 hingga 30 Jun 2017.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (Parit-BN) di Dewan Rakyat, Othman berkata, orang ramai boleh membuat semakan sekiranya mereka mempunyai WTD di 25 kaunter WTD di seluruh negara.

Menurut Othman, terdapat 13 kaunter WTD di Semenanjung, Sarawak (tujuh), Sabah (empat) dan satu kaunter baharu akan dibuka di Putrajaya.

Sebagai pemegang amanah, pihak kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas wang tersebut dan sentiasa memastikan ia selamat dalam pegangan kerajaan sehinggalah ia dituntut.

Memetik portal Jabatan Akauntan Negara mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965, wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dalam satu tempoh masa tidak kurang daripada tujuh tahun ditafsir sebagai WTD.

Pengeluaran arahan tetap oleh pemegang akaun boleh diterima oleh institusi kewangan sebagai urusan dikendalikan oleh empunya.

Foto Facebook

Baru-baru tular di media sosial sejak minggu lepas, kisah seorang wanita yang mendakwa dia berjaya menuntut WTD mencecah RM14,000 daripada akaun lamanya.

Wanita terbabit mendakwa menyemak namanya di pejabat pendaftar WTD di Jabatan Akauntan Negara Malaysia Menara Maybank.

Perkongsian maklumat tersebut membuat banyak pihak mencuba untuk menuntut WTD masing-masing.

Seorang pengguna Facebook mengongsikan gambar orang ramai berpusu-pusu beratur di Tingkat 42, Menara Maybank.

Laporan Harian Metro menyifatkan pejabat WTD Menara Maybank di Kuala Lumpur menerima kesan besar apabila orang ramai beratur panjang di premis tersebut.

Menurut kakitangan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) yang bertugas di kaunter, orang ramai mula beratur sejak 8.30 pagi dan mereka terpaksa membahagikan barisan kepada dua bahagian iaitu warga emas dan bukan warga emas.

Hasil semakan WTD, ada pemilik akaun yang berjaya mendapatkan wang yang lumayan dari akaun lama yang hanya berbaki belasan ringgit. – Sarawakvoice