TPM: Malaysia yakin capai tahap satu banteras jenayah pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR: Malaysia positif untuk mencapai tahap satu dalam mematuhi sepenuhnya standard minimum menghentikan jenayah pemerdagangan manusia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengikut Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat (US TIP Report) yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) pada 27 Jun lepas, Malaysia telah dinaikkan ke Tahap Dua iaitu negara yang tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 tetapi membuat usaha penting untuk membawa diri kepada pematuhan standard itu.

Timbalan perdana menteri berkata sasaran tahap satu pada tahun 2020 itu boleh dicapai sekiranya Malaysia mendapat kerjasama daripada negara-negara sumber yang menimbulkan permasalahan kepada Malaysia.

“Ini kerana yang menjadi beban terhadap permasalahan ini adalah negara kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjawab pertanyaan Datuk Raime Unggi (Tenom-BN) berhubung faktor membantu peningkatan kedudukan Malaysia dalam Laporan JNAS mengenai US TIP Report serta tindakan Malaysia dalam mengekalkan momentum pencapaian itu.

Laporan US TIP Report 2017 itu melibatkan penilaian terhadap 187 negara mengenai usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang.

Ahmad Zahid berkata antara faktor Malaysia kini di Tahap Dua adalah pelaksanaan siasatan dan sabitan kes pemerdagangan orang serta penglibatan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi.

Selain itu kerajaan turut menjalin kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menambah baik aspek pelindungan kepada mangsa pemerdagangan orang selain pengemaskinian peraturan-peraturan sedia ada, kata beliau.

Ini diiikuti beberapa tindakan susulan terutama apabila kita menjalinkan kerjasama dengan negara-negara sumber yang meletakkan permasalahan itu kepada kita. Namun, tidak adil sebuah negara yang diletakkan dalam Tahap 1, tetapi negara itu menjadi negara sumber kepada kita, katanya.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) , Polis Diraja Malaysia serta pelbagai pihak kerana membantu mencapai kejayaan itu.

Menjawab soalan Raime mengenai jumlah NGO yang terlibat membantu mangsa pemerdagangan orang, Ahmad Zahid berkata setakat ini terdapat dua NGO yang bekerjasama dan menerima peruntukan daripada kerajaan.

Kita menggalakkan NGO lain bekerjasama dengan NGO sedia ada ini untuk memberi perlindungan dan memberi peluang pekerjaan kepada mangsa pemerdagangan. Malah beberapa syarikat dari Amerika Syarikat menawarkan pekerjaan kepada mangsa, katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan turut menggalakkan syarikat-syarikat tempatan memberi peluang pekerjaan kepada mangsa pemerdagangan orang.