Mahathir tidak mungkin jadi Perdana Menteri ketujuh

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan diberi kepercayaan menjadi Perdana Menteri oleh pemimpin pembangkang Lim Kit Siang kerana kuasa autonomi ada di tangan DAP.

Justeru, kesepakatan antara DAP dan PKR  menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan hanya satu sandiwara Pakatan Harapan.

Begitulah tanggapan Ketua Pergerakan Wanita Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Zurainah Musa berkaitan isu tersebut.

Sandiwara itu, katanya, bertujuan untuk mengaburi persepsi rakyat tentang keberantakan dalaman yang sedang berlaku dalam kalangan parti komponen pakatan pembangkang.

Katanya, jawatan yang diberikan kepada Dr Mahathir hanya sebagai umpan untuk memancing undi orang Melayu dalam PRU-14.

“Selain daripada reaksi suam-suam kuku pemimpin DAP dan PKR tentang kerjasama dengan PPBM, keinginan Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi juga tidak disambut positif oleh mereka.

Pakatan Harapan kini sibuk memperkatakan tentang perdana menteri kelapan, dan bukan perdana menteri keenam sekiranya menang dalam PRU nanti.

Calon perdana menteri kelapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka belum bersedia menamakan sebarang calon untuk perdana menteri ketujuh diandaikan Pakatan Harapan menang dalam PRU nanti.

Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.

Selaras dengan itu, beliau menyeru agar rakyat sedar akan permainan politik Pakatan Harapan yang hanya berpaksikan agenda peribadi masing-masing.

“Ini supaya rakyat dapat menilai dan membuat keputusan tepat untuk memilih parti dan barisan pemimpin yang benar-benar telah terbukti mengemudi negara dengan makmur, harmoni dan stabil selama berpuluh tahun lamanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  – Sarawakvoice