Cukai pelancongan: Rakyat Malaysia tak perlu bayar – Nazri

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dikecualikan membayar cukai pelancongan bagi semua jenis hotel dan premis penginapan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata, sebaliknya cukai berkenaan akan dikenakan terhadap pelancong asing yang tinggal di semua jenis premis penginapan pada kadar RM10 bagi setiap bilik 1 malam.

Nazri berkata, langkah itu adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap suara rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, selain merancakkan lagi pelancongan domestik.

Beliau menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) mengenai status terkini pelaksanaan cukai pelancongan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Sebelum ini, Nazri berkata, hanya pelancong domestik yang tinggal di penginapan 4 bintang dan ke atas akan dikenakan cukai pelancongan, manakala tiada bayaran cukai pelancongan terhadap penginapan 3 bintang ke bawah.

Nazri berkata, anggaran kutipan cukai pelancongan setahun adalah hampir RM211 juta berdasarkan Purata Kadar Penginapan atau Average Occupancy Rate (AOR).

“Kita menjangka jumlah kutipan itu akan meningkat apabila lebih banyak premis penginapan yang akan tampil mendaftar berikutan berkuatkuasanya Akta Cukai Pelancongan.

“Kementerian turut bercadang mengagihkan hasil kutipan cukai pelancongan, iaitu setiap RM10 bagi setiap bilik 1 malam, RM1 akan dikembalikan kepada negeri bagi tujuan promosi sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, cukai pelancongan tidak akan memberi kesan besar terhadap kemasukan pelancong luar kerana tarikan kadar tukaran mata wang Malaysia lebih rendah berbanding Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura.

“Cukai ini dikira mengikut jumlah malam menginap dan jumlah bilik yang digunakan dan tidak dikenakan mengikut jumlah individu yang menginap. Malah, kadar harga bilik untuk hotel-hotel di Malaysia jauh lebih murah berbanding negara jiran,” katanya.

Mengenai tarikh pelaksanaan cukai pelancongan, Nazri berkata, ia akan ditentukan setelah mengambil kira kesediaan pihak kastam untuk melaksanakan kutipan cukai itu.