KUALA LUMPUR:  Tindakan Israel  menutup, mengawal ketat  dan mengenakan pelbagai sekatan terhadap kemasukan orang Islam untuk beribadah di Masjid Al Aqsa ialah perbuatan yang sungguh biadab dan  mencabuli hak asasi umat Islam Palestin.

Menurut Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen Pas Syed Ahmad Fadhli, Masjid Al Aqsa merupakan kiblat pertama penganut agama Islam, maka segala bentuk gangguan dan halangan yang dikenakan Israel ialah provokasi yang disengajakan bagi menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Akibat daripada tindakan Zionis dan negara haram Yahudi itu, suasana ketegangan terus berlaku di Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya sehingga telah menyebabkan kematian tiga orang remaja Palestin dan lebih 900 orang tercedera,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, walaupun Israel sudah mencabut alat pengesan logam di pintu masuk Masjid Al-Aqsa tetapi pada masa sama kabinet Israel telah meluluskan peruntukan US$28 juta bagi memasang kamera keselamatan dan peralatan canggih untuk memantau kemasukan dan pengecaman terhadap setiap individu ke masjid tersebut.

“Hal ini jelas menunjukkan Israel begitu angkuh dengan kuasanya dan mahu mendominasi sepenuhnya kawasan suci umat Islam tersebut walaupun perbuatan sedemikian bercanggah dengan undang-undang antarabangsa,” tegasnya.

Justeru, katanya, Ahli Parlimen Pas (Temerloh) Nasrudin Hassan akan mengemukakan Usul Tergempar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada hari ini agar Parlimen membuat ketetapan dan pendirian tegas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel dan Zionis yang berterusan menindas umat Islam Palestin. – Sarawakvoice