Dua warga emas didakwa cetak 1,679 wang kertas RM100

SEREMBAN: Chan Hui Boo, 70, dan Mohd Nasir Aman, 59, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan secara bersama memiliki 1,679 keping wang kertas palsu RM100 bernilai RM167,900.

Memetik Bernama pada Selasa, kedua-dua suspek yang salah seorangnya merupakan pesara kerajaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.

Foto Facebook

Kedua-dua suspek didakwa mengetahui dan mempercayai wang tersebut sebagai palsu serta berniat menggunakannya sebagai tulen di belakang hotel di Jalan Sheikh Ahmad, Seremban sekitar 7.50 malam, 10 Julai lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-duanya boleh dipenjara 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat di hadapan Hakim G. Ramesh.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM6,000 setiap seorang, selepas Datuk Hanif Hassan mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar dikurangkan jaminan asal RM12,000 seorang.

Hakim menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan kes. – Sarawakvoice