Penumpang MRT gantung buaian bayi dalam gerabak MRT, dikritik hebat

KUALA LUMPUR: Belum lagi reda sikap sesetengah pengguna yang tidak bertanggungjawab merosakkan kemudahan kelas pertama dalam gerabak dan stesen MRT yang baru dibuka enam hari lalu, kini timbul pula pasangan suami isteri yang menjadikan gerabak MRT berkenaan seolah-olah rumah sendiri.

Betapa tidak, pasangan yang mementingkan diri sendiri dengan menggantung buaian bayi di dalam sebuah gerabak Transit Aliran Massa (MRT), tanpa mempedulikan keselesaan penumpang lain, dan juga keselamatan anak di dalam buaian itu.

Ternyata netizen berang dengan sikap dan tindakan pasangan itu berdasarkan komen yang dilontarkan dalam media sosial.

Rata-rata yang menyaksikan gambar tersebut memberi komen sinis dan negatif terhadap tindakan pasangan berkenaan.

Kata seorang netizen, @Razif : “Alahaiii, korang ingat yang ini rumah korang ke sesuka hati je nak menggantung buaian bayi dalam MRT.”

@Azah Haziq Akashah pula berkata: “Tak faham la orang sekarang ini, nak service world class tapi mentality korang masih takda class.”

@AzizahArif: ” Cuba bayangkan jika train tersebut brake emergency dan anak itu tercampak dan pecah kepala. Siapa yang harus dipesalahkan.”

Menerusi beberapa keping gambar yang dikongsikan di laman Facebook, seorang penumpang Nana Abd Rashid, jelas tidak berkenan dengan tindakan pasangan tersebut

“Alahai kak, awat tak bawak tilam dan toto sekali naik MRT. Tolong la kak, jangan bagi malu. Anak-anak tu kalau boleh pantau sikit, jaga harta benda awam bersama,” tulis nana Abd Rashid.

“Boleh pulak dia bawa buai bayi sangkut dalam MRT. Keselamatan anak tanggungjawab ibubapa, kalau la emergency brake, tercampak anak, confirm viral salahkan MRT pula nanti,” tulisnya lagi.
Kata pemerhati sosial, penumpang pengangkutan awam di negara ini perlu dididik bagaimana sepatutnya berkelakuan dalam sistem pengangkutan awam.

Mereka bukan sahaja perlu menjaga dengan baik segala kemudahan awam, tetapi tidak sepatutnya bercakap nyaring apabila menggunakan telefon bimbit.

“Kalau mereka di London, sudah tentu penumpang sedemikian akan ditegur penumpang lain,” katanya,sambil menambah, kita di negara ini masih lagi tidak tega berbuat demikian.