Sesetengah penumpang sistem pengangkutan awam kita memang tidak beradab. Mereka memang tidak ada disiplin, dan tidak bertanggungjawab.

Mereka langsung tidak punya sekelumit pun rasa sayang kepada kemudahan yang disediakan.

Kemudahan yang ada dirosakkan. Bangku yang mahal digaris, diconteng dan dirosakkan.

Tandas dan kemudahannya tidak digunakan dengan betul.

Semuanya itu menggambarkan mentality kelas ketiga dan mentaliti dunia ketiga.

Anehnya, penumpang ini apabila masuk sahaja ke Singapura, tahu pula bagaimana berkelakuan.

Saya pernah melihat di dalam LRT di London pada tahun lalu, bagaimana seorang penumpang dari Malaysia bercakap kuat menggunakan telefon bimbitnya ditegur secara bersemuka dengan tegas oleh seorang wanita.

“Stop it. Stop talking over the phone,” katanya dengan berang.

Dengan tersipu-sipu penumpang berkenaan terus berhenti sambil meminta maaf.

Penumpang di London memang beradab. Ketika mereka mabuk pun mereka meminta maaf kepada penumpang lain.

Saya pernah menyaksikan seorang penumpang terhuyung-hayang, tetapi masih punya adab dengan memohon maaf kepada kami sekeluarga.

Sesungguhnya, perbuatan bercakap nyaring seolah-olah berada di dalam rumah sendiri, bukan saja tidak beretika, malah mengganggu ketenteraman penumpang lain.

Tetapi tengok gelagat penumpang MRT, LRT dan bas di negara kita. Mereka tidak kisah perasaan orang lain. Malah, mereka bercakap soal bisnes di dalam bas, MRT dan LRT dengan rakan mereka.

Meskipun  ada notis dipaparkan, sesetengah penumpang mempersetankan notis jangan makan dan minum. Mereka makan dan minum seolah-olah LRT dan MRT dapur rumah mereka.

Sesetengah penumpang membiarkan anak-anak mereka bermain seperti berada di dalam taman di kawasan perumahan mereka ketika berada di dalam MRT dan LRT.

Mereka tidak menegur perbuatan itu, menyebabkan kelakuan itu menjadi-jadi. Namun yang menyedihkan, kanak-kanak berkenaan, seperti sesetengah penumpang dewasa yang tidak berakal, juga meletakkan kaki di atas bangku.

Mereka membiarkan kanak-kanak berkenaan berdiri di atas bangku. Tentu bangku berkenaan menjadi kotor.

Mereka tidak faham bangku bukan untuk berdiri, tetapi untuk duduk.

Melentur buluh biarlah dari rebung.

Tetapi bagaimana kalau ibu bapa dan penumpang dewasa pun berkelakuan seperti kanak-kanak? – Sarawakvoice