Di Malaysia, gerakan politik diikat kepada batang tubuh tokoh tertentu dan bukannya idea.  Apabila tokoh itu sudah tidak lagi popular atau sudah meninggal dunia, maka gerakan politik tersebut akan semakin dilupakan.

Gerakan reformasi anjuran Anwar Ibrahim yang dimulakan pada tahun 1998 ialah contoh terbaik. Matlamat utama gerakan reformasi ialah menjatuhkan Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu dan menggantikannya dengan Anwar.

Semasa kemuncaknya, gerakan reformasi menghimpunkan ribuan penyokong Anwar berarak dan bertempik di jalan-jalan raya utama di Kuala Lumpur seperti di dataran Merdeka, Jalan TAR dan perkarangan Masjid Negara. Laungan dan teriakan ‘reformasi’ bergema di setiap perhimpunan dan ceramah anjuran PKR.

Objek yang menjadi sasaran kepada gerakan reformasi ialah kebencian terhadap Dr. Mahathir. Dr. Mahthir digambarkan semuanya buruk, pernah dituduh kejam dan dilabelkan sebagai mahazalim.

Penggerak reformasi sanggup berhadapan dengan  segala bentuk tindakan yang dilakukan oleh pihak keselamatan termasuk ISA, dihukum penjara, disembur dengan air pemedih mata, gas pemedih dan sebagainnya.

Gerakan reformasi kehilangan stim apabila Dr. Mahathir membuat keputusan meninggalkan pentas politik dan berhenti daripada menjadi PM pada tahun 2003. Siri demonstrasi jalanan seperti sebelumnya tidak lagi mendapat tarikan selepas itu.

Menyedari demonstrasi jalanan tidak lagi mendapat sambutan dan BN menang besar dalam PRU tahun 2004, golongan ini menamakan diri mereka ‘Otai Reformasi’.

Tan Sri Musa Hitam dalam satu temu bual pernah berkata bahawa gerakan reformasi telah mengubah landskap politik Malaysia. Sebelum reformasi, semua aktiviti politik termasuk demonstrasi memaparkan sisi perkauman. Tetapi selepas reformasi, aktiviti politik melibatkan semua kumpulan etnik utama di negara ini dan tidak lagi menonjolkan isu perkauman’.

Kerjasama parti pembangkang seperti menerusi Barisan Altenatif, Pakatan Rakyat, dan akhir-akhir ini Pakatan Harapan dimungkin oleh gelombang yang dihasilkan menerusi gerakan reformasi. Hasrat penggerak reformasi untuk melihat Anwar menjadi PM tidak pernah padam.

Namun begitu, semenjak Dr Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, mengubah segalanya. Otai Reformasi, dalam mesyuarat mereka selama tiga jam pada Ahad lalu telah memutuskan, untuk:

Menolak kepimpinan tun Mahathir diperingkat parti sebagai Pengerusi Pakatan Harapan atau di peringkat kerajaan sebagai Perdana Menteri,

Menuntut supaya Pakatan Harapan memasukkan dalam manifesto PRU 14 bahawa ia akan menubuhkan Suruhanjaya Keamanan dan Keadilan bagi mengadili segala tuduhan ke atas Dr Mahathir, dan bersetuju agar mana-mana ahlinya yang mempunyai jawatan dalam mana-mana parti Pakatan harapan untuk melepaskan jawatan yang disandang dalam gerakan otai reformasi.

Otai Reformasi berhadapan dengan realiti brutal politik: matlamat menghalalkan cara turut menzahirkan wajahnya dalam pakatan pembangkang.

Mereka sedar bahawa dengan perlantikan Dr Mahathir, matlamat utama reformasi iaitu menjadikan Anwar sebagai PM sudah hampir terkubur.

Dan sekiranya Pakatan Harapan menang dalam PRU-14 nanti, kemenangan itu bukan disebabkan oleh kekuatan dan pengaruh Anwar. Sebaliknya sumber kekuatan tersebut tentunya akan dikaitkan dengan Dr Mahathir.

Inilah antara sifat gerakan politik yang diikat kepada tokoh, bukannya idea. – Sarawakvoice