Jamal Yunos desak Indonesia bebaskan segera nelayan, dua bot yang ditahan

KUALA LUMPUR: Jelas berang dengan tindakan pihak berkuasa Indonesia yang menembak dan merampas dua bot nelayan Sekinchan baru-baru ini, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos semalam mendesak pihak berkuasa Indonesia membebaskan nelayan-nelayan dan dua buah bot nelayan  terbabit dengan segera.

Nelayan dan bot berkenaan ditahan dan ditunda ketika menangkap ikan di perairan Malaysia baru-baru ini.

Beliau membantah sekeras-kerasnya tindakan pegawai penguat kuasa Indonesia yang disifatkan sebagai pengkhianat menyalahgunakan kuasa menahan dan menunda bot nelayan tempatan di perairan Malaysia.

Beliau bersama Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi mewakili keluarga nelayan Sekinchan berkata, kejadian itu bukan baharu.

“Ini bukanlah perkara baru. Pihak penguat kuasa Indonesia bukan sahaja menceroboh sempadan perairan Malaysia, malah bertindak tanpa perikemanusiaan.

Mereka merampas, mengambil kesemua aset dan mengebom bot nelayan tersebut sebelum ini, walaupun dalam kes yang terdahulu, nelayan-nelayan kita telah dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya.

Tambahnya,  tindakan pihak penguat kuasa dari Indonesia ialah perkara di luar batasan.

“Kita bersetuju jika nelayan-nelayan ini  melakukan kesalahan menangkap ikan di perairan Indonesia, dikenakan tindakan.

Tetapi melalui data terakhir yang kita peroleh membuktikan bahawa mereka dalam perairan Malaysia dan ditunda penguat kuasa Indonesia dan akhirnya mendakwa nelayan dari Sekinchan ini menangkap ikan di perairan mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan Indonesia di sini semalam. – Sarawakvoice