Video: Tangki air kompleks pecah, hasilkan air terjun setinggi 40 meter

KUANTAN: Tangki air di tingkat atas bangunan Kompleks Teruntum di Kuantan, Pahang, pecah dan membawa bencana.

Insiden pada 1 petang Ahad itu menyebabkan empat cedera, 10 motosikal serta tiga kereta yang parkir 40 meter di bawah rosak teruk dihempap runtuhan bangunan.

Melalui video yang beredar di media sosial air mengucur deras bagaikan air terjun turut mengalir pada tingkap rumah penghuni.

Rumah di tingkat bawah turut dimasuki air.

Harian Metro melaporkan pasangan suami isteri nyaris ditimpa runtuhan dinding bangunan Kompleks Teruntum tersebut.

Sheikh Mohd Hanafi Sheikh Ali, 50, dan isteri bagaimanapun cedera ringan pada lutut, siku dan tapak tangan kerana terjatuh ketika mengelak runtuhan.

Ketika itu, mereka berjalan ke pusat beli-belah Kuantan Parade melalui jalan belakang kompleks sebelum terdengar dentuman kuat.

“Mujur saya dan isteri sempat lari dan berjaya mengelak daripada ditimpa runtuhan berkenaan,” kata Hanafi, 50.

Hanafi turut membuat laporan polis kerana motosikal Modenas Kriss miliknya rosak dalam kejadian itu. – Sarawakvoice