Sebahagian rakyat Malaysia memang tidak punya disiplin. Jika hendak ukur tahap disiplin mereka, tengok sahaja ketika mereka berada di tempat awam. Lihat  tingkah laku dan perbuatan mereka.

Bagaimana sikap mereka ketika berada di jalan raya atau lebuh raya? Adakah mereka berdisiplin? Adakah mereka mempertimbangkan hak orang lain, atau lebih penting nyawa orang lain. Tidak kisahlah jika nyawa mereka sendiri yang melayang.

Tengok juga cara mereka menggunakan tandas awam. Sebahagiannya memang tak pandai pun menggunakan tandas awam. Kalau mereka tahu menggunakan tandas awam, tentu tidak ada nada notis seperti “Dilarang berak di atas lantai” seperti yang  dipaparkan di tandas sebuah pusat beli-belah moden di Kota Samarahan.

Mereka biarkan apa yang mereka lepaskan di dalam mangkuk tandas untuk orang lain bersihkan, atau lihat. Pengguna tandas seperti ini sebenarnya tidak bertamadun.

Terbaharu dilaporkan bagaimana sesetengah pengguna MRT Sungai Buloh-Kajang memperlihatkan sikap jelek mereka. Perangai dan kelakuan buruk mereka menggambarkan mereka memang tidak bertamadun atau memang kurang terdidik.

Mungkin sahaja mereka lulus Tingkatan Lima atau dapat CGPA3.5 ke atas. Mungkin sahaja mereka mendapat kelas pertama di universiti, tetapi mentaliti mereka kelas ketiga.

Kita punya kemudahan kelas pertama, tetapi mentaliti pengguna kelas tercorot.

Sudah ada yang merosakkan tandas dan bangku yang berkos tinggi di sistem pengangkutan MRT. Malah, sampah sarap termasuk puntung rokok dibuang di merata-rata tempat. Pihak berkenaan dikatakan terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk  menggantikan kemudahan yang rosak dalam MRT itu gara-gara perbuatan terkutuk segelintir penumpang yang datang dari zaman batu.

Perbuatan buruk itu jelas merosakkan imej MRT yang berharga RM21 bilion. Harganya mungkin berbilion-bilion, tetapi nilai segelintir pengguna yang bersikap merosakkan kemudahan tersebut yang disediakan untuk kemudahan rakyat itu, tidak lebih daripada 50 sen.

Kerosakan di bangku berkenaan  dikatakan disengajakan. Pendek kata ia akibat perbuatan laku musnah.

Jalan terbaik untuk menangani masalah laku musnah seperti ini mungkin mengenakan hukuman berat.

Sesiapa yang merosakkan kemudahan awam sedemikian perlu dihukum sehingga RM20,000. Mereka perlu dididik untuk menyayangi kemudahan yang disediakan.

Disebabkan mereka kurang terdidik, maka cara mendidik mereka mungkin dengan cara itu. Atau kalau perlu sumbatkan mereka di dalam penjara. Atau aibkan mereka dengan memaparkan gambar mereka dalam media. – Sarawakvoice