Wartawan veteran ingatkan kerajaan waspada berurus niaga dengan China

KUALA LUMPUR:  Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin hari ini mengingatkan kerajaan agar  berwaspada apabila berurus niaga dan bekerjasama dengan negara China.

Menurut bekas Ketua Pengarang The New Straits Times zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad itu, dasar China berbeza dari negara ke negara.

“Ada negara yang China sedia bertolak ansur dan ada pula negara yang ia bertegas untuk mendapatkan balik pinjamannya,” katanya dalam kolum mingguannya di Sinar Harian, hari ini.

Katanya, dalam kategori pertama, ramai warganegara China bermastautin dan berniaga seolah-olah negara itu negara mereka sendiri sehingga menimbulkan permusuhan penduduk tempatan.

Misalnya, menurut Kadir,  seawal tahun 2012 kerajaan Malawi di Afrika Timur telah memerintahkan peniaga China supaya keluar dari ibu-ibu negeri dan kawasan luar bandar kerana persaingan mereka telah membunuh perniagaan rakyat tempatan.

Katanya, mereka hanya dibenarkan berniaga di bandar-bandar besar.

“Hal yang sama berlaku di Ghana, Senegal dan banyak lagi negara Afrika di mana kehadiran besar-besaran peniaga kecil dan pekedai dari China telah mencetuskan kemarahan peniaga anak negeri,” tambahnya.

Dianggarkan terdapat kira-kira 1.1 juta pekerja dan pemastautin China di Afrika.

Sebelum ini, kata Kadir Pengerusi Institut Penyelidikan Asean CIMB (Cari), Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid dilaporkan berkata, Malaysia tidak semestinya terlalu bersemangat dan berpendapat bahawa rancangan wilayah pembangunan dan jalan raya China (Belt and Road Initiatives) atau BRI akan secara automatik membawa faedah.

“Hal ini sudah pun mula berlaku di negara kita cuma pihak berkuasa dan anggota masyarakat sama ada buta atau pura-pura tidak tahu,” katanya lagi.

“Tidak mengapalah kalau para pembesar negara, kepala-kepala agensi penguatkuasaan dan askar siber prokerajaan berasa wartawan pencen macam saya tidak perlu dihiraukan,” katanya sinis. – Sarawakvoice