Abang rogol tiga adik perempuan serah diri kepada polis

SUNGAI PETANI: Tidak puas merogol dua adik perempuannya, seorang lelaki berusia 18 tahun, turut menjadikan seorang lagi adik perempuannya tempat melampiaskan nafsu di Sungai Layar, di sini.

Perbuatan terkutuk suspek  itu terbongkar apabila mangsa yang berusia lapan tahun memberitahu perbuatan terkutuk abangnya itu kepada ibu mereka.

Dalam kejadian terbaharu, lelaki itu dikatakan melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah rumah kosong selepas mengheretnya keluar dari rumah mereka pada 8 malam Rabu, lapor The Star, hari ini.

Adik perempuannya itu melaporkan kejadian berkenaan kepada ibunya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 39 tahun ada bersama di rumah mereka, namun tidak menyedari kejadian itu.

Mangsa memberitahu ibunya bahawa abangnya itu secara paksa  menariknya ke tandas yang berada di luar kawasan rumah.

“Kemudian suspek telah memaksa mangsa melakukan hubungan seks di dalam rumah kosong terbabit,” katanya.

Saifi berkata suspek yang tidak bekerja menyerah diri kepada polis di Kuala Muda pada pukul 10 pagi semalam.

Suspek, katanya, turut mengugut adiknya supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada ahli keluarga lain sekiranya tidak mahu dipukul.

“Hasil siasatan, sebelum ini dua lagi adik perempuan suspek berusia sembilan dan 14 tahun pernah mengadu kepada ibu mereka berkaitan perbuatan sama dilakukan suspek.

“Bagaimanapun, ibu mereka hanya memberikan amaran kepada suspek supaya tidak mengulangi perkara itu, selain tidak membuat laporan polis sebelum ini kerana menyangka kejadian itu hanya gurauan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Menurutnya, suspek tidak mengakui melakukan perbuatan terkutuk itu malah mendakwa adik-adiknya cuba memfitnah dirinya.

“Ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut manakala suspek ditahan dan akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 376 B Kanun Keseksaan. – Sarawakvoice