22 Julai: Makna Hari Sarawak bagi orang Sarawak

Dr Awang Azman Awang Pawi

Pada 22 Julai tahun ini, buat kali kedua rakyat Sarawak menikmati cuti umum.  Pencinta sejarah dan negarawan Tan Sri Adenan Satem  telah mengisytiharkan  22 Julai sebagai  cuti umum untuk mengingati perjuangan  tokoh pemimpin yang telah berjasa dan membawa kepada kemerdekaaan negeri Sarawak.

Sebenarnya 22 Julai 1963 penting dalam sejarah Sarawak dengan pewartaan Majlis  Tertinggi  oleh Gabenor Sir Alexander Waddel.

Pelantikan Ketua Menteri Pertama

Pada 22 Julai 1963 juga berlakunya pelantikan  Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri yang pertama yang termaktub dalam notis 1167 atau dikenali sebagai notis pertama.

Antara tokoh politik Sarawak yang dilantik ialah Awang Hipini Pengiran Anu sebagai Menteri Negeri,  Dustan Endawie anak Enchana sebagai Menteri Kerajaan Tempatan, Abdul Taib Mahmud sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya, Teo Kui Seng dilantik sebagai  Menteri Sumber Alam, dan James Wong Kim Min sebagai Timbalan Ketua Menteri. Sebenarnya  nama-nama ini ialah Majlis Tertinggi  baharu  yang terkandung dalam notis kedua atau dikenali sebagai notis 1168.

Notis ini telah dicetak, diterbitkan dan  diisytiharkan  oleh Gabeneor Sir Alexander  Waddell pada 22 Julai dan diterbitkan sebagai The Sarawak Government Gazzette Extraordinary Part V yang di bawah kuasa Sarawak  (Constitution) Orders in Council 1956 to 1963.  Di sinilah wujudnya notis pertama dan kedua ini.

Kolonial Tetap Berkuasa

Sarawak sebagai Crown Colony Britain  menjadikan  kuasa mutlak tetap di tangan  Raja atau Ratu Great Britain, manakala Gabenor ialah wakil baginda di Sarawak.

Sebelum itu, pilihan raya negeri  dan kabinet negeri memang ada, namun masih di bawah bayangan kuasa kolonial Inggeris.  Dasar dan pentadbiran masih tertakluk kepada kuasa kolonial.   Yang pasti Sarawak belum merdeka lagi.

Ke arah Kerajaan Sendiri

Yang ada pada 22 Julai 1963 hanyalah detik awal  negeri di bawah jajahan  empayar Inggeris yang memulakan arah  untuk mencapai taraf berkerajaan  sendiri sehingga  Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.

Kepemimpinan politik mulai lebih  bertanggungjawab ke arah pentadbiran Sarawak. Ia hanyalah  satu bahagian pembaharuan dalam  perlembagaan yang dipinda yang akhirnya membawa berkerajaan negeri, namun tidak bermakna Sarawak merdeka pada tarikh tersebut.

Tarikh pengisytiharan kemerdekaan Sarawak banyak dipinda dan akhirnya  hari kemerdekaan Sarawak  ialah melalui pembentukan  Malaysia.

Politik Hari Sarawak

Pengisytiharan Hari Sarawak sangat penting dan memberikan implikasi dari aspek politik  dan sosial.  Dari segi teori fungsional dalam ilmu sosiologi,  pengumuman Hari Sarawak  dapat menyatukan seluruh penduduk negeri Sarawak untuk mengingati perjuangan tokoh-tokoh negeri Sarawak  yang sudah lama berjuang dan perlu diraikan perjuangan mereka.

Ia juga mengingati proses berkerajaan  sendiri sebelum mencapai kemerdekaan sepenuhnya melalui pembentukan Malaysia.

Peristiwa ini juga mengingati bahawa  Sarawak bukanlah wujud selepas pembentukan Malaysia.  

Perlembagaan Sarawak

Namun tidak ramai mengetahui  sejarah pada  24 September  1941 di Sarawak, iaitu Charles Vyner Brooke telah mengisytiharkan  perlembagaan Sarawak sempena perayaan 100 tahun  pemerintahan keluarga Brooke.

Antara lain, perlembagaan ini menekankan aspek  pemberian kuasa kepada rakyat Sarawak. Perlembagaan ini merupakan  perlembagaan  bertulis pertama  Sarawak,  namun tidak sempat dilaksanakan akibat  Perang Dunia Kedua  tercetus.

Perlembagaan Sarawak 1941 antara lain menyatakan penyerahan  kuasa Charles Vyner Brooke kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri, manakala Majlis Negeri  diberikan kuasa meluluskan undang-undang dan menguruskan kewangan.  

Perlembagaan ini merupakan  langkah  Sarawak mempunyai kuasa dan pentadbiran sendiri, mengakhiri pemerintahan autokratik Brooke yang akan membenihkan institusi demokrasi yang akhirnya membawa kepada penubuhan kerajaan sendiri.  Namun ini bukanlah bermakna Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dari segi sejarah.

Interaksi Simbolik

Cuma dari segi teori interaksi simbolik ia memberikan kesan kejiwaan kepada anak Sarawak hingga menjadi terlalu sentimental dan diangkat menjadi seolah-olah Sarawak merdeka pada tarikh tersebut.

Kesemua ini mampu membina ‘imaginasi masyarakat Sarawak’ tentang proses kemerdekaan Sarawak yang dapat mengukuhkan perpaduan seluruh rakyat Sarawak. – Sarawakvoice