Lim Kit Siang sudah lupa dosa Tun Mahathir

Lalu berakhirlah tanda tanya siapa yang selayak dan sepatutnya menjadi pemimpin Pakatan Harapan (PH). Tiga jawatan tertinggi dalam PH, iaitu Ketua Umum, Pengerusi dan Presiden semuanya diberikan kepada Melayu.

Arkitek kepada penubuhan PH, iaitu Lim Kit Siang daripada DAP tiada dalam senarai 12 orang yang diberi jawatan  dalam PH. Sebaliknya, Anwar Ibrahim (KPR), Tun Mahathir (PPBM) dan  Dr Wan Azizah (PKR) masing-masing dilantik sebagai penasihat, pengerusi dan presiden.

Daripada 12 jawatan dalam struktur kepemimpinan PH, DAP hanya diperuntukkan sebanyak tiga jawatan, itu pun hanya di lapisan kedua dan ke bawah seperti Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Bendahari.

Sedangkan semua tahu bahawa kerusi parlimen paling banyak dimenangi DAP berbanding dengan parti-parti lain. Komponen PH yang paling lemah, iaitu PPBM, diberi kedudukan istimewa dengan jawatan sebagai Pengerusi, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Tun Mahathir selaku pengerusi dilihat akan menjadi pemimpin utama dalam PH walaupun ada Anwar dan isterinya Dr. Wan Azizah selaku penasihat dan presiden. Anwar berada di penjara dan memerlukan orang dari luar penjara untuk menyampaikan nasihat.

Mengikut Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, perlembagaan PH memberi kuasa kepada Pengerusi untuk mempengerusikan mesyuarat dan Presiden hanya membantu Pengerusi. Jika apa yang dimaklumkan oleh Muhyiddin Yassin adalah benar, secara logiknya Tun Mahathirlah yang akan menjadi PM yang ketujuh, dan bukannya Anwar atau Dr. Wan Azizah sekiranya PH memenangi PRU-14 kelak.

Mengapa Lim Kit Siang selaku arkitek kepada PH sanggup mengangkat mantan pemimpin UMNO yang sudah expired dan berusia 92 tahun sebagai pengerusi? Adakah Lim Kit Siang percaya bahawa mantan PM selama 22 tahun itu akan mendengar dan mengambil arahan daripada beliau?

Dalam kerjayanya sebagai pemimpin dan pengasas DAP, Lim Kit Siang menentang semua PM, daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Dr. Mahathir, Abdullah Badawi dan Najib Razak.

Dan antara semua PM tersebut, Dr. Mahathirlah yang paling banyak ditentang oleh Lim Kit Siang berikutan pelbagai skandal yang muncul ketika pemerintahan Tun M, antaranya ialah seperti skandal BMF, skandal penswastaan Lebuh Raya Utara-Selatan, kerugian Bank Negara berikutan perniagaan dalam Forex, bailout Renong dan MAS, skandal Perwaja, pemecatan Ketua Hakim Negara, penggunaan Akta ISA untuk menahan 102 pemimpin pembangkang dan banyak lagi perbuatan Dr. Mahathir dikutuk dan dicemuh oleh Lim Kit Siang.

Tetapi semua itu seolah-olah tidak menjadi hal kepada Lim Kit Siang. Beliau tidak pernah meminta Tun Mahathir memohon maaf atas kesilapannya pada masa lalu. Dan beliau tidak pernah berjanji akan menyiasat semua salah laku Tun Mahathir sekiranya PH menang dalam PRU pada masa hadapan.

Semua tuduhan Lim terhadap Dr. Mahathir pada masa lalu tidak lebih hanyalah alat untuk mempopularkan diri beliau dan kekal relevan dalam dunia politik. Di sini para pengundi Cina yang rata-rata berpendidikan tinggi dan peka dengan politik harus menilai semula Lim Kit Siang.

Kepada Lim, apabila Mahathir menyertai pembangkang, semua dosa lama beliau hilang, dan Mahathir lahir semula sebagai seorang demokrat. Jika logik itu diterima pakai,  Najib Razak yang ditentang oleh Lim pada hari ini juga akan menjadi seorang demokrat dan bersih suci apabila pada masa akan datang dia menyertai pakatan pembangkang seperti mana Dr. Mahathir lakukan.

Lim Kit Siang telah terlalu lama menyalahgunakan sokongan yang diberikan oleh pengundi Cina untuk membawa perubahan politik di Malaysia. Jika pengundi Cina mahu berada di bawah kepemimpinan orang Melayu, adalah lebih baik mereka bersama-sama pemimpin BN yang masih segar dan belum expired! – Sarawakvoice