Perguruan Silat Cimandi Sarawak harap penghujung Syawal satukan ahli terpisah sejak 30 tahun lalu

KUCHING: Perguruan Seni Silat Cimandi Sarawak (Cimandi Sarawak) akan menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Reunion bagi menyatukan ahli yang berpisah sejak lebih 30 tahun lalu pada Ahad ini.

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Reunion Keluarga Cimandi Sarawak akan dilangsungkan di Dewan Semarak Gita pada Ahad ini selepas penubuhan 43 tahun lalu.

Perguruan Silat Cimandi Sarawak yang berasal dari Kepulauan Jawa Tengah mula ditubuhkan di Laruh Skim, Kuching pada tahun 1974.

Pengerusi Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Reunion Keluarga Cimandi Sarawak, Mohamad Ismawi Hamid berkata, penganjuran program berkenaan adalah bagi mempertemukan semula guru-guru  silat dan ahli yang sudah lama berpisah.

Jurulatih Kanan Perguruan Seni Silat Cimandi Sarawak, Mohamad Ismawi (kanan) dan jurulatih Kamri Mohamad menunjukkan risalah penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Reunion Keluarga Cimandi Sarawak yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Ismawi yang juga Jurulatih Kanan Cimandi Sarawak berkata, program berkenaan kelak diharap dapat mengeratkan semula silaturahim dalam kalangan ahli yang sudah berpisah lebih 30 tahun.

“Dengan adanya majlis ini secara langsung akan menjadi medan merapatkan hubungan antara ahli yang sudah terpisah sejak sekian lama, malah ada yang telah terpisah sejak lebih 30 tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih daripada 200 ahli pada majlis tersebut.

“Kami mengalu-alukan sesiapa yang pernah mempelajari seni silat Cimandi Sarawak hadir pada majlis yang akan kami adakan.

“Ketika zaman kegemilangan, Perguruan Silat Cimandi Sarawak mempunyai 16 gelanggang termasuk di Laruh Skim, Kampung Pinang Jawa, Sri Arjuna Batu Kawa, Taman Sukma dan banyak lagi,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan ahli Cimandi kini berada di seluruh Sarawak kerana Cimandi Sarawak mempunyai lebih 1,000 ahli sebelum ini.

“Ahli Cimandi Sarawak ramai yang berhijrah membina kehidupan di tempat lain di serata Sarawak. Kami ingin mengumpul ahli lama untuk digabungkan dengan ahli-ahli baharu.

“Kami bercadang merancang pelbagai aktiviti pada masa akan datang selepas kami berjaya mengumpul orang lama dalam Cimandi Sarawak,” katanya.

Dalam majlis yang akan dilangsungkan pihaknya juga akan menjemput wakil gabungan dari Rumpun Silat Sarawak bagi memeriahkan majlis tersebut.

“Majlis Reunion dan Ramah Tamah Aidilfitri ini adalah sebagai perintis program pihak Cimandi Sarawak untuk kesinambungan program pada masa akan datang.

“Kami menyasarkan pelbagai program untuk golongan belia dan juga untuk peringkat sekolah di samping penyertaan aktiviti sukan olahraga.

“Kami mahu menghidupkan semula gelanggang-gelangang silat yang tidak aktif dan menghidupkan lebih banyak gelanggang baharu,

“Untuk maklumat lanjut tentang majlis ini ahli Cimandi Sarawak boleh menghubungi saya di talian 0198161151 dan Kasvenda (016870 1273).

“Ini bagi memudahkan kami mengetahui bilangan ahli yang akan hadir dalam majlis itu kelak,” katanya. – Sarawakvoice