Jangan tengok sahaja! Jangan tidur sahaja! Raikan Hari Sarawak 22 Julai — Dr Sim

KUCHING: “Jangan tunggu sahaja ….Jangan tengok sahaja ….

“Keluar, sambut dan raikan Hari Sarawak pada 22 Julai ini,” gesa Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian semalam.

Menurutnya, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini telah mewartakan 22 Julai sebagai Hari Sarawak, bagi memperingati hari negeri ini diperintah oleh anak tempatan.

“Kerana itu kita akan mengadakan acara rasmi sambutan untuk tahun kedua pada 22 Julai depan di Tebingan Kuching.

“Oleh itu, seluruh Sarawak perlu keluar rumah dan meraikan sambutan hari istimewa ini,” katanya lagi ketika ditemui selepas mesyuarat sambutan tersebut di Kompleks Mahkamah Lama dekat sini.

Sambutan Hari Sarawak disambut sebagai memperingati tarikh Sarawak mentadbir sendiri negeri ini pada 22 Julai 1963.

Pada tarikh tersebut, Datuk Stephen Kalong Ningkan mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sarawak, dan kabinet Sarawak pertama dibentuk.

Sebagai kerajaan yang baharu dan bebas dari penjajahan, bendera Union Jack diturunkan, bendera Sarawak dikibar.

Pada tahun ini kata Kui Hian, beberapa acara telah dirancang, antaranya sambutan rasmi pada sebelah pagi, serta pameran dan konsert pada sebelah malam.

“Ini adalah keraian rakyat, bukan hanya penganjuran rakyat semata-semata. Biar mereka terlibat sama dan bukan ‘tengok sahaja!’

“Kerana itu untuk pameran, kita akan lanjutkan ke Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

Katanya, pihaknya mahu rakyat melihat sendiri dokumen-dokumen penting yang membawa kepada penubuhan kerajaan Sarawak.

“Kita juga akan menerbitkan video pendek mengenai sambutan ini, dengan tajuk ‘Sarawak Events’ dan memuat naiknya di media sosial.

“Tetapi yang paling penting, kita mahu seluruh anak Sarawak merasakan, dan meraikan sambutan ini.

“Sambut dengan cara mereka sendiri, bail berlari, berbasikal, makan malam dan macam-macam lagi,” jelasnya. – Sarawakvoice