Umat Islam dibelit perpecahan, penularan ideologi moden

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am Pas Hashim Jasin berkata, ketika ini umat Islam dibelit  isu-isu perpecahan, penularan ideologi moden, serangan pemikiran oleh musuh-musuh pascapenjajahan dan juga usaha-usaha untuk menindas negara umat Islam.

Menurutnya,  umat sendiri tepaksa berhadapan masalah kejahilan umat, kepemimpinan yang tidak berpegang dengan al-Quran dan sunah, kemiskinan dan penindasan serta perbalahan mazhab dan aliran.

“Semua ini adalah bertolak daripada hilangnya ukhuwah dan persaudaraan aqidah orang-orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (IAPU) 2017 di Kota Bharu.

Ijtimak  anjuran bersama Kerajaan Negeri Kelantan, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dan Pas itu berlangsung pada 20-22 Julai ini.

Hashim mengakui, pada masa ini, Islam mengalami proses kebangkitan semula setelah hampir 100 tahun kejatuhan khalifah pada 1924.

“Perpaduan adalah jawapan terbaik dalam merungkai semua masalah ini, sekali gus membangunkan semula umat bagi memacu kegemilangan Islam. Atas dasar inilah, Pas menjadi tuan rumah bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia bagi menganjurkan IAPU kali keempat,” katanya.

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (Pas) beliau  mengucapkan tahniah di atas penganjuran Ijtimak berkenaan.

“Bagi pihak Pas, saya menyeru seluruh umat Islam, khususnya ahli PAS supaya menghadiri ijtimak ini sebagai dukungan ke arah menyatupadukan umat Islam dalam era kebangkitan ini. Jangan ada di kalangan kita yang terlepas daripada menghadiri ijtimak antarabangsa yang julung-julung kalinya kita adakan di Kelantan ini,” katanya lagi. – Sarawakvoice