SKMM padam akaun palsu media sosial sebar fitnah, dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Dari Januari hingga Jun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima aduan terdapat hampir 1,500 akaun palsu di platform media sosial digunakan untuk tujuan penyebaran berita palsu dan serangan fitnah terhadap pemimpin negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata bukti yang diperoleh dikemukakan kepada pihak SKMM membantu mereka memadamkan akaun palsu itu.

Kerajaan turut bekerjasama dengan pengendali media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram memadamkan akaun palsu yang digunakan bagi tujuan negatif berkenaan.

Memetik laporan Bernama pada Isnin, Salleh pada Majlis Mesra Aidilfitri Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada Isnin, mengaku terdapat akaun palsu berkenaan menggunakan platform luar negara.

Sebilangan akaun berkenaan sudah ditutup melalui perundingan dengan pengendali media sosial terbabit.

Bagi akaun palsu yang dihoskan di alam negara, SKMM tiada masalah memadam terus akaun berkenaan.

Pihak berkuasa masih menyiasat dan mengumpul bahan bukti ke atas isu penyebaran fitnah melalui akaun palsu terbabit, sebelum tindakan undang-undang diambil. – Sarawakvoice