Perluas dakwah Islamiah tanpa jejaskan perpaduan — Tun Abdul Taib

KUCHING: Umat Islam di negeri ini dinasihatkan agar terus mengekalkan perpaduan yang sedia ada, biarpun pada masa yang sama berusaha melaksanakan dakwah Islamiah.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, ini penting untuk memastikan semua kaum di negeri ini dapat mengamalkan ajaran agama masing-masing dengan bebas dan dihormati.

“Ia harus menjadi pegangan kita, kerana menyentuh sensitiviti agama lain hanya akan mengeruhkan perpaduan yang sedia wujud.

“Kita seharusnya bersyukur kerana perjalanan agama Islam di negeri ini, termasuk proses dakwah tidak sedikit pun mendapat bangkangan golongan lain,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Agensi-Agensi Islam Sarawak di Kompleks Islam Sarawak.

Pada majlis tersebut, Tun Abdul Taib turut mengingati sumbangan mantan Menteri Muda Hal-ehwal Islam, Datuk Daud Abdul Rahman yang banyak membantu menggembangkan syiar Islam di negeri ini

” Datuk Daud banyak membantu memajukan perkembangan Islam dan memastikan pergerakan Islam terus kekal aktif,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam kata aluannya, Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha berkata, menjadi hasrat agensi-agensi Islam di Sarawak untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, melalui penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan persekitaran menarik.

” Kita juga berharap akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan memperkenalkan rating bintang dengan mewujudkan Standard Penarafan Kebersihan dan Keceriaan Masjid serta Surau di negeri ini.

” Pada masa yang sama, menerusi Tabung Baitulmal Sarawak, kita juga akan menganjurkan Seminar Wakaf, bagi mengemas kini pengetahuan pentadbir agama di peringkat kampung dan daerah tentang pelbagai perkara, selain memodenkan kaedah pengurusan masjid, hartanah dan sistem kewangan masing-masing,” katanya lagi.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. – Sarawakvoice