Pengiran Bala turunkan pemain muda layan Terengganu

KUCHING: Berikutan kedudukan yang semakin terhimpit dalam Piala Malaysia, pemangku Ketua Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala membuat keputusan drastik dengan merehatkan kebanyakan pemain utamanya dalam aksi piala tersebut, malam ini.

Sarawak sebaliknya akan melayan Terengganu, dengan menurunkan barisan muda, termasuk Rodney Calvin, Mohd Hafiz Abu Bakar malah Daglish Papin, selain Shahrol Saperi dan Hairol Mokhtar.

Difahamkan, percaturan ini dibuat bagi memberi rehat yang secukupnya kepada para pemain utama, berikutan jadual perlawanan yang begitu ketat.

Dengan strategi terbaharu ini, bayangan Mateo Roskam, Demerson Bruno Costa, Milos Raickovic, malah Ronny Harun tidak akan diturunkan.

Sebaliknya para pemain diarahkan untuk memfokuskan tumpuan kepada aksi menentang PKNS pada Sabtu ini, untuk membolehkan Sarawak keluar dari kelompok risiko.

“Tidak bermakna kita memandang rendah aksi Piala Malaysia. Sebaliknya, ia ruang untuk kita memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda beraksi menentang pasukan yang agak mencabar.

“Malah para pemain muda seperti Tommy Mawat Bada, Nur Shahmie Iszuan dan Abdul Rahim Abdul Razak bersinar kerana peluang yang kita berikan.

Kata Pengiran yang juga merupakan antara anggota pasukan asal “Ngap Sayot”, beliau akan meneruskan usaha David Usop menggilap pemain muda dan berharap dengan peluang yang diberikan, pemain ini akan membuktikan sesuatu.

“Tidak ada tekanan. Cuma yang perlu dipertajam adalah taktikal.

“Dan kita akan menilai setiap perlawanan dan merancang tindakan yang diperlukan.

“Yang penting, kita mahu mereka berusaha gigih dan berusaha menamatkan badi Stadium Negeri,” jelasnya lagi. – Sarawakvoice