Nasihat TMJ sebenarnya  untuk pemimpin dan rakyat Malaysia, bukan hanya kepada Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sering memberikan nasihat berguna buat dirinya ketika menghadapi cabaran politik tanah air.

Menurut Ketua Armada Bersatu itu, TMJ menasihatinya supaya tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak.

“Oleh itu, saya perlu sentiasa peka siapa kawan dan lawan. Perkara terakhir yang saya mahukan ialah dipergunakan untuk tujuan yang salah,” katanya dalam kenyataan media.

“Tunku sering menekankan tentang keperluan untuk ‘membersihkan sistem’ secara keseluruhannya serta tiada yang berkecuali, ini menunjukkan bahawa rasuah sama sekali tidak diterima di Johor,” jelasnya.

“Rakyat Malaysia sememangnya memerlukan pemimpin yang lantang bersuara untuk menegakkan kebenaran,” tambahnya.

“Tunku juga maklum perkara ini juga memerlukan keberanian, kejujuran dan bukan hipokrasi,” katanya.

Bagaimanapun,  Syed Saddiq percaya nasihat berkenaan sebenarnya tertuju kepada semua, tanpa mengira parti, wakil pemimpin dan rakyat Malaysia.

Kata Syed Saddiq lagi, beliau sama sekali berbangga kerana Johor memiliki pemimpin seperti TMJ. – Sarawakvoice