Kemeja T tanda ingatan tragedi MH17, juga kumpul dana bina masjid

KUCHING: Lukisan mangsa tragedi MH17, Muhammad Afif Tambi, dihasilkan menjadi T-shirt oleh keluarganya sebagai tanda memperingatinya dan mengumpul dana untuk pembinaan masjid di bandaraya Kuching, menurut sepupu mangsa, Anwar Zafran Zamzuri.

“Keuntungan dari jualan baju ini akan gunakan untuk memanjangkan amalan baik dengan membina sebuah masjid di bandaraya Kuching,” katanya.

Menurut Anwar, keluarganya ingin membina sebuah masjid dan idea itu telah diterima oleh kerajaan negeri Sarawak. Selepas dipersetujui, ahli jawatankuasa pembinaan surau dibentuk dan mencadangkan surau tersebut diberi nama sebagai surau Al Ghazali sempena nama Imam Al-Ghazali.

Anwar menjelaskan, peruntukan yang diberikan hanya mencukupi pembinaan fasa satu dan tidak mencukupi untuk memenuhi proses pembinaan keseluruhan.

“Kami masih memerlukan RM2.2 juta untuk proses pembinaan selebihnya kerana kos pembinaan keseluruhan adalah RM3.5juta,” katanya.

Anwar berkata dengan mengabadikan hasil lukisan arwah Afif kepada satu tshirt boleh dijadikan sebagai sumber dana untuk pembinaan surau tersebut.

Sementara itu, sepupu perempuan mangsa, Nur Sabrina Irwan Zulkarnain menjelaskan signifikasi dua lukisan yang dihasilkan oleh arwah Afif dua bulan sebelum kejadian itu berlaku yang juga merupakan tugasan arwah Afif, yang mengambil bidang seni bina.

“Lukisan pada baju pertama menunjukkan warga Ukraine yang sedang melihat satu kapal terbang di langit dan lukisan merah putih itu melambangkan kapal terbang Malaysia Airlines. Di dalam tugasan arwah Afif, dia menyatakan bahawa dia adalah dumbell tersebut,” jelas Sabrina.

Sabrina juga menjelaskan harga baju tersebut adalah amat berpatutan dengan harga RM69 untuk t-shirt lengan pendek dan RM79 untuk t-shirt lengan panjang. – Sarawakvoice