KUCHING: Sarawak berjaya mengekalkan indeks jenayah yang rendah sekali gus muncul antara negeri yang paling selamat di negara ini.

Bekaa Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, trend penurunan jenayah indeks ini harus dikekalkan demi memastikan keselamatan negeri ini terus terjamin.

“Statistik jenayah indeks yang dilaporkan bagi tempoh 1 Januari hingga 13 Julai lepas, menunjukkan sebanyak 3,340 kes dilaporkan berbanding 3,489 kes untuk tempoh yang sama pada tahun 2016.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai 2017 pula, Polis Sarawak telah berjaya menangkap seramai 30 pengedar dadah berbanding hanya 22 orang pada tahun 2016 di bawah Akta Dadah Berbahaya,” jelasnya sewaktu berucap pada Perbarisan Perpisahan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak di ibu pejabat kontijen itu di sini pagi semalam.

Mazlan telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Selangor pada 7 Julai lalu bagi menggantikan Datuk Seri Abu Samah Mat yang bersara.

Beliau menjawat Pesuruhjaya Polis Sarawak sejak 16 Mei tahun lalu, menggantikan Datuk Seri Mohd Sabtu Osman, yang ketika itu dilantik Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Di bawah kepimpinannya, pelbagai kes berprofil tinggi berjaya diselesaikan termssuk yang rumit seperti pembunuhan Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong, yang pada awalnya tiada petunjuk.

Mazlan yang mengaku masih seronok bertugas di Sarawak berharap trend penurunan jenayah indeks ini dapat dikekalkan selain pada masa yang sama meningkatkan jumlah pertuduhan kes di mahkamah.

Sejurus selepas perbarisan, Mazlan menghadiri majlis serah tugas dengan dengan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohamad Salleh.

Beliau digantikan oleh bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Amer Awal. – Sarawakvoice