KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang memberangsangkan dengan pertumbuhan diunjur melebihi lima peratus pada separuh pertama tahun 2017, kata pakar ekonomi.

Mereka berkata aliran masuk dana asing yang lebih kukuh pada dasarnya telah meningkatkan kecairan dalam sistem kewangan dan membantu meningkatkan prestasi ringgit seperti yang didapat dilihat  dalam kecairan metrik seperti nisbah ekuiti, pinjaman kepada deposit serta pinjaman kepada dana, yang susut kepada 88.8 peratus dan 72.9 peratus pada Mei 2017 daripada 89.8 peratus dan 75.3 peratus pada Disember 2016.

“Ini agak mengejutkan kerana kami agak pesimis pada permulaan tahun ini kerana ekonomi dan pasaran global dilihat tertekan dengan ketidakpastian dalam dasar pentadbiran Trump serta rundingan ‘Britain Exit’ dan pilihan raya di Eropah.

“Bagaimanapun, kenaikan harga ekuiti seolah-olah telah menyangkal kebimbangan yang kita alami pada separuh pertama,” kata Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama dalam temu bual melalaui emel.

Pelabur asing telah membina kedudukan kukuh di Bursa Malaysia dalam enam bulan pertama tahun 2017, membeli enam bulan berturut-turut, demikian menurut MIDF Research dalam nota baru-baru ini.

Ia menyatakan bahawa pembelian asing kumulatif di bursa tempatan meningkat dengan ketara kepada RM10.2 bilion, atau dianggarkan US$2.3 bilion pada separuh pertama, yang tertinggi dalam kalangan bursa di Asia Tenggara.

Penerima terbesar berikutnya di Asia Tenggara ialah bursa Jakarta, mencatatkan lebihan sebanyak US$1.3 bilion (US$1 = RM4.28).

Mohd Afzanizam berkata risiko situasi seperti di Amerika Syarikat dan UK serta pembangunan berkaitan dengan minyak mentah akan menjejaskan paras ringgit berikutan sikap penolakan risiko dalam kalangan pelabur.

Beliau menjangka ringgit, yang berada pada paras 4.29 berbanding dolar AS, mencecah antara RM4.10 dan RM4.20 pada separuh kedua 2017.

“Kami percaya bahawa ringgit/ dolar AS mempunyai ruang untuk meningkat lagi pada separuh kedua tahun ini. Pendekatan Rizab Persekutuan yang secara berperingkat-peringkat menaikkan kadar dasar mereka akan menjadi pemangkin utama dan ini akan memberi perkembangan positif kepada ringgit setelah kadar di Amerika Syarikat tidak mungkin melangkaui kadar dasar semalaman Malaysia dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata jangkaan peningkatan ringgit sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri berorientasikan eksport sementara risiko situasi seperti konflik di Majlis Kerjasama Teluk, pilihan raya umum di Jerman, dasar pentadbiran AS termasuk perbelanjaan infrastruktur dan perlindungan, akan menjejaskan sentimen pasaran dan ekonomi secara amnya.

Ketua Pengenalisis Ekonomi MIDF Research, Dr Kamaruddin Mohd Nor, yang senada dengan Mohd Afzanizam, menjangkakan ringgit mengukuh secara beransur-ansur ke paras RM4.20 bagi setiap dolar AS menjelang akhir tahun tetapi berpotensi disekat oleh perubahan dalam dasar monetari AS dan aliran modal.

Mengenai ekonomi secara keseluruhan, Mohd Afzanizam berkata, ekonomi akan mengalami beberapa bentuk kesederhanaan pada  separuh kedua tetapi dihadkan dengan pelaksanaan projek infrastruktur yang sedang berjalan, kadar inflasi yang lebih rendah dan pasaran pekerja yang stabil sedia untuk menyediakan pemangkin yang diperlukan untuk pertumbuhan.

“Kami menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sederhana kira-kira 4.4 peratus pada separuh kedua 2017 daripada unjuran pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus pada enam bulan pertama tahun ini, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh pada 4.9 peratus tahun ini daripada 4.2 peratus pada 2016,” katanya.

Rizab Persekutuan menetapkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) 2017 pada 1.4 peratus dalam unjuran terkininya pada Jun dan ini bermakna FFR akan berada pada 1.50 peratus menjelang akhir tahun.

Paras berkenaan masih di bawah paras OPR yang lazim sebanyak tiga peratus dan dengan kadar inflasi AS terus berada di bawah sasaran dua peratus,” kata Mohd Afzanizam.

Beliau tidak menjangka FFR akan melonjak dalam jangka masa terdekat.

“Selain itu, perbincangan bank pusat utama lain seperti Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan untuk  menghapuskan dasar akomodasi, perlu dilihat secara positif kerana ini bermakna permintaan global akan meningkat. Ini baik untuk negara perdagangan seperti Malaysia,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata terdapat kemungkinan Bank Negara Malaysia akan  menaikkan kadar faedah sekiranya trajektori pertumbuhan terus meningkat.

“Kami berpendapat kadar dasar semalaman akan dikekalkan pada tiga peratus sepanjang tahun ini,” katanya, sambil menambah bahawa terdapat keperluan komunikasi mengenai dasar monetari kepada orang ramai bagi mengelak sebarang salah faham sekiranya terdapat kenaikan kadar.

“Stigmanya ialah kadar yang lebih tinggi tidak baik kepada ekonomi. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam erti kata lain, kadar yang lebih tinggi akan bermakna ekonomi kita baik dan kurang memerlukan sokongan daripada pihak berkuasa monetari,” katanya. Bernama