Siapa yang pernah terfikir bahawa akhirnya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi kawan baik?

Jika anda ingat akan apa-apa yang dikatakan dan dilakukan Mahathir terhadap Anwar pada 1998 dan 1999 terutamanya, anda tentu tidak akan percaya semua itu berlaku.

Bagi anda yang masih kecil ketika itu atau tidak mengikuti perkembangannya hingga baru-baru ini, Mahathirlah perdana menteri yang memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Pelbagai kenyataan dan kata-kata pedih dihalakan ke jantung Anwar dan keluarganya.

Anwar, kata Mahathir, tidak layak menjadi perdana menteri kerana tidak tidak bermoral.

Anwar amat terluka. Anda tentu masih ingat bagaimana tilam dibawa ke mahkamah bagi membuktikan terdapat tompok-tompok tertentu di tilam itu.

Akhirnya, Anwar disumbat di penjara kerana kesalahan liwat. Beliau didakwa meliwat pemandunya, dan penulis teks ucapannya.

Puluhan ribu ke jalan raya tunjuk perasaan. Mahathir dikecam dan dihina sebagaimana Mahathir menghina dan memfitnah Anwar.

Segala-galanya ditelanjang.

Itu 20 tahun lalu. Kita kini berada pada 2017.

Benarlah, tiada musuh kekal dan sababat abadi dalam politik, kerana yang kekal ialah kepentingan.

Itulah yang terrjadi kepada dua pemimpin politik Umno ini – yang kini sudah berada di laur parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang pernah dipimpin mereka itu.

Mahathir kini menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia, manakala Anwar pemimpin de facto PKR.

Kedua-dua parti itu anggota Pakatan Harapan – pakatan yang menggantikan Pakatan Rakyat yang sudah lebur, dengan Pas berada di luar pakatan.

Dalam Pakatan Harapan, Mahathir menjadi pengerusi, dan Anwar ketua umum.

Siapa sebenarnya menjadi boss, dengan Anwar kini masih meringkuk di Penjara Sungai Buloh disebabkan kesalahan kes liwat kali kedua?

Tiada siapa juga percaya bahawa Mahathir begitu terdesak untuk menjalin kerjasama dan persahabatan dengan Anwar – termasuk berjumpa beliau di mahkamah.

Pelbagai tafsiran dibuat tentang usaha mereka berdua berbaik-baik semula dengan ada yang melontarkan soalan, bolehkah Mahathir dipercayai?

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang terkenal dengan keceloparan dan kelantangannya, semalam memberi ulasan bahawa gandingan Mahathir-Anwar menandakan masa depan Pakatan Harapan yang gelap.

Malah beliau percaya kedua-dua tokoh itu akan saling berbunuhan.

“Saya rasa bagus kerana mereka akan bunuh membunuh antara satu sama lain.

“Saya mahu mereka mati perlahan-lahan, kalau quick death (mati cepat) tak syok,” Nazri dipetik sebagai berkata.

“Bila seorang mati, pilihan raya umum nanti ada isu lain pula. Dia orang bangkit. Jadi biar mereka mati perlahan-lahan. Mungkin lebih baik mereka mati selepas pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi.

Untuk itu, malam tadi, Mahathir berkata di sebuah ceramah di Shah Alam, itu Nazri kini dalam keadaan ketakutan dan kegugupan melihat dia bersama-sama bekas seterunya Anwar memimpin Pakatan Harapan.

“Sebab dia takut. Dia menggeletar pasal saya kawan baik dengan Anwar,” kata Mahathir.

“Dia sekarang tidak lena tidur,” kata Dr Mahathir.

Untuk sementara waktu, 32 juta rakyat Malaysia akan terus menonton sandiwara politik yang berlaku. – Sarawakvoice