Tarikh PRU-14 semakin jelas

KUALA LUMPUR: Tarikh pilihan raya umum (PRU) Ke-14 yang banyak dispekulasi pelbagai pihak, termasuk penganalisis politik, kelihatannya semakin jelas dengan kenyataan terbaharu Timbalan Perdana Menteri.

Semalam di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno di PWTC, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha untuk menangkis pelbagai ramalan berkenaan tarikh penting itu, menolak kemungkinan PRU diadakan pada September ini.

September menjadi bulan popular dalam ramalan pelbagai pihak, kerana Barisan Nasional  (BN) dikatakan mahu menggunakan sentimen “feel good” selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Sukan SEA (19-31 0gos) dan Hari Malaysia  pada 16 September.

Namun, penganalisis sebelum ini berkata, ada kemungkinan bahawa PRU akan diadakan pada Mac tahun depan.

Zahid berkata semalam, September seperti yang diramal ramai “adalah agak terlalu dekat untuk PRU”, jadi bermaksud, PRU yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya itu akan diadakan selepas itu.

Hujung tahun dan awal tahun dianggap tidak sesuai kerana musim tengkujuh, cuti sekolah dan persediaan Tahun Baru Cina.

Tempoh untuk Parlimen sekarang berakhir pada 24 Jun 2018, dan PRU perlu diadakan dalam tempoh dua bulan.

BN perlu terlebih dahulu menyelesaikan isu berkaitan FGV, dan menjelaskan kepada rakyat secara meyakinkan isu 1MDB dan juga Cukai Barangan  dan Perkhidmatan (GST) kepada pengundi.

BN bakal berdepan dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu serta Pas dengan masing-masing mempunyai keyakinan memenangi pilihan raya itu. – Sarawakvoice