KUALA LUMPUR:  Pakatan Harapan (PH) perlu menyediakan strategi tiga penjuru jika mahu menggerakkan gelombang baharu dan muncul sebagai kuasa baharu politik negara pada pilihan raya umum (PRU) Ke-14, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

“Tidak dapat tidak ‘3 penjuru’ tidak dapat dielakkan. Oleh itu saya berkeyakinan jika PH bersiap dari sekarang untuk ‘3 penjuru’, Insya-Allah  PH akan menjadi kuasa baru politik Malaysia pada Pru14 akan datang,” katanya tanpa mengulas lanjut strategi tiga penjuru yang dimaksudkan.

Menurutnya, sikap tolak ansur dan jiwa besar dalam mengakui kelemahan dan kekurangan serta kelebihan parti masing -masing akan menjadi tunjang kekuatan dengan menggabungkan sumber pengalaman,kepakaran dan kepimpinan yang mampu  menewaskan BN pada PRU-14.

“PH perlu segera didaftarkan bersama dengan lambang PH. Kepimpinan perlu segera menentukan strategi andai PH tidak diluluskan sebelum Pru14,” katanya dalam satu kenyataan.

“Agenda menghadapi Pru14 dengan satu lambang mesti diteruskan dan PH perlu segera menetapkan lambang rasmi PH yang mana ianya akan digunakan dalam Pru14 nanti,” tambahnya.

Beliau berharap selepas ini penyelesaian agenda yang lebih konkrit dan terperinci dalam manifesto yang menyentuh reformasi institusi yang benar-benar memberi keadilan dan melindungi negara demi rakyat dilakukan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, PH dan parti-parti komponen PH yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu sewajarnya membawa ‘politik baru’ dalam pengurusan dan pendekatan kepimpinan.

“Bersedialah dengan lapang dada dan bersikap terbuka dengan kritikan dari ahli bawahan serta menerima perbezaan pandangan dan pendekatan,” jelasnya.

“Harapan rakyat kini hanya kepada PH.Tiada lain yang diharapkan. Jangan kecewakan rakyat,” katanya lagi. – Sarawakvoice