KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing berkata wakil rakyat partinya kerap diajukan dua permintaan masyarakat diwakili di luar bandar.

Permintaan pertama ialah mempercepat kerja pengukuran Tanah Hak Adat (NCR) dan kedua, rakyat menuntut agar disegerakan agihan pinjaman bagi membina semula atau membaik pulih rumah panjang yang sudah usang.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat parti itu di Jalan Pending, menarik perhatian berkaitan peruntukan RM36 juta diluluskan Kerajaan Pusat bagi tujuan pengukuran tanah NCR.

Menandangkan kerja pengukuran agak perlahan dan memakan kos, Masing berkata Majlis Tertinggi PRS mencadangkan kerja pengukuran tanah NCR dilakukan dengan mengukur keseluruhan tanah NCR semua rumah panjang yang terdapat dalam satu blok kawasan.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Isnin, Masing mendakwa kaedah ini menurutnya bertujuan menentukan dengan cepat sempadan tanah NCR dengan tanah milik Kerajaan Negeri.

Dikenal pasti bahawa proses mengukur tanah NCR menjadi perlahan kerana berlaku pertikaian sempadan dengan tanah milik Kerajaan Negeri.

Justeru, selepas sempadan tanah NCR dengan tanah milik Kerajaan Negeri ditentukan dengan jelas, baharulah sempadan tanah NCR diukur antara rumah panjang.

Sementara itu, bercakap berkaitan agihan pinjaman untuk membina semula atau membaik pulih rumah panjang yang sudah usang, Masing Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh berkata, RM50 juta diluluskan bagi tujuan tersebut di Sarawak.

Beliau menuntut agensi terbabit mengagih segera pinjaman berkenaan kepada penduduk rumah panjang yang layak menerimanya demi membaik pulih atau membina semula rumah panjang yang memerlukan.

Sebelum ini, rumah panjang minimum 10 pintu yang memerlukan dana bagi baik pulih atau bina semula boleh memohon pinjaman maksimum RM50,000 bagi satu keluarga dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan masing-masing. – Sarawakvoice