Pencapaian IPTA negara membanggakan, kata Ketua Pemuda Pas

KUALA LUMPUR: Kejayaan beberapa universiti awam negara memperbaik kedudukan masing-masing berdasarkan kajian QS World University Ranking for 2018 merupakan pencapaian membanggakan hingga mengangkat Malaysia pada tangga ke-25 dalam kedudukan sistem pengajian terbaik di dunia, kata  Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia.

“Pencapaian ini tentu terhasil daripada usaha gigih setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini dalam mengembangkan ilmu, meneroka penemuan dan menjana penyelidikan, sekali gus menjadi pemangkin usaha untuk lebih cemerlang dan maju dalam memastikan kesinambungan memartabatkan Institusi Pengajian Tinggi,” kata Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Daripada pencapaian tersebut,  ujarnya, Universiti Malaya (UM) menempa kedudukan paling tinggi berbanding universiti tempatan yang lain apabila berada di tangga ke-114 universiti terbaik dunia.

Malah,  jelasnya, IPTA tempatan juga berada pada tangga ke-10 universiti terbaik di ASEAN, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Sekali gus bermakna IPTA ini berada pada Top 1% dalam senarai universiti di seluruh dunia,” katanya lagi.

“Pencapaian ini diharap bakal memberi impak positif kepada mahasiswa dan mahasiswi universiti awam tempatan dalam membawa cabaran generasi muda masa kini dan masa akan datang. Terutama dalam menghadapi era Revolusi Perindustrian 4.0 yang bakal merubah landskap dunia,” tambahnya.

“Dengan perkembangan itu, kami berharap IPTA bukan sahaja melihat aspek perkembangan fisikal Sains dan Teknologi semata-mata, tetapi juga sentiasa memberi penekanan terhadap aspek Sains Sosial, khususnya dalam memberi tumpuan kepada pembinaan tamadun manusia yang diolah selari menurut kerangka Islam,” jelasnya.

“Berikutan pengurangan dana IPTA dalam Bajet Negara sejak dua tahun lalu, kami berharap bajet akan datang memberi keutamaan kepada IPTA dan sentiasa diberi keutamaan dalam perbelanjaan negara. Syabas dan selamat maju jaya kepada seluruh warga IPTA seluruh negara,” katanya. – Sarawakvoice