Lama telah aku tinggalkan kampung halaman. Terlalu lama sehingga kini, hanya nama kampung yang masih tinggal, sedangkan penduduknya habis berhijrah ke tempat lain, meneruskan hidup yang dahulunya terpencil tanpa sebarangan harapan.

Kenangan membesar di kampung semakin samar-samar kuingati, kini hidup di seberang laut mencari rezeki kehidupan.

Keluarga pun turut serta hampir lupa asal usulnya dari Pulau Bruit, Daro.

Aku akui tidak meneruskan legasi bahasa Melanau yang indah kepada zuriatku, kerana persekitaran dan orang rumahku yang bukan berasal dari sana, namun aku sendiri masih rasa bangga menjadi sebahagian daripada keturunan Melanau Matu-Daro.

Selama di perantauan, aku kira “buang batu” dengan berita di Pulau Bruit, dulu hanya berperahu atau naik bot ekspres untuk ke Sibu, untuk membeli-belah, atau bersekolah ke Bintangor, berubat ke Daro kerana tiada apa-apa yang ada di kampungku.

Lama-kelamaan, kerana sukarnya meraih pendapatan sebagai nelayan, aku nekad keluar mengubah haluan hidup.

Namun, ada sesuatu yang menarik minat aku kembali mengimbau kenangan di Pulau Bruit.

Ada banyak perubahan berlaku yang dahulu bagiku sesuatu yang hampir putus asa untuk diharapkan.

Membaca “newsfeed” di paparan Facebook di kalangan kenalan yang berada di Pulau Bruit, sedikit banyak menimbulkan rasa rindu untuk kembali ke sana.

Bekalan elektrik, air, jalan dan feri menjadi asas yang pastinya memberi impak akan ada tambahan fasiliti yang lain dalam sedikit masa lagi.

Aku ambil sedikit masa untuk menggali berita, aku tidak dapat nafikan penggerak utama kemajuan ini ialah Yang Berhormat Abdullah bin Saidol, pelbagai kemudahan dan prasarana dapat dimanfaatkan ketika beliau memulakan tugas sebagai wakil rakyat DUN Semop hingga kini memasuki penggal kedua.

Secara peribadi, aku memang tidak mengenali susuk individu yang membangunkan pulau yang dahulu seolah-olah dilupakan sedangkan ia pulau terbesar di Sarawak ini.

Namun, aku kagum dengan tagline “kajuk kabak” menunjukkan beliau komited dengan amanah sebagai wakil rakyat.

Selain itu, aku juga bangga dengan adanya belia yang aktif dalam Saberkas dan Pertubuhan Graduan Pulau Bruit.

Bagusnya belia di sana, ketika ramai belia mensia-siakan masa, mereka aktif menggerakkan aktiviti kemasyarakatan.

Aku berkira-kira untuk kembali ke sana, menghabiskan sisa-sisa umur, kuharap ketika itu, jambatan, hospital dan aktiviti sosioekonomi sangat ke depan, turut dikenali sebagai pusat peranginan dan pelancongan.

Semoga YB Abdullah terus diberikan kesihatan dan kekuatan untuk memimpin DUN Semop untuk lebih maju lagi.

Satar Ajip
Anak Perantau Pulau Bruit
Pulau Pinang.

(foto Facebook)