Kedudukan Mawan terancam, PDP tuntut kerusi Saratok

SARATOK: Tan Sri William Mawan Ikom, pemimpin politik yang kini menguasai dua kawasan – Parlimen Saratok dan Dewan Undangan Negeri Pakan sudah hampir pasti digugurkan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mawan yang kedudukan dan jawatannya dalam parti menjadi teka-teki di sebalik kedudukan parti Teras yang dipimpinnya dalam Barsian Nasional (BN) masih menjadi persoalan, kini berdepan kemungkinan tidak lagi dicalonkan semula di Saratok.

Gambar fail

Parti Progresif Demokratik (PDP) yang menukar nama daripada SPDP sebelumnya  yang turut pernah diterajui oleh Mawan yang flamboyant itu, menzahirkan secara terbuka usahanya menuntut balik kerusi yang secara tradisi ditandinginya.

Sebelum Mawan ditampilkan di kawasan itu pada PRU13, wakil SPDP Jelaing Mersat mewakili kerusi berkenaaan.

Pada pilihan raya negeri Mei tahun lalu, Mawan hampir tewas di kerusi Pakan yang sekian lama menjadi kubu kuat BN apabila hanya menang dengan majoriti kecil 426 undi, sekali gus membayangkan popularitinya yang terhakis.

Malah, sumber akar umbi di kawasan Saratok berjanji memberi elaunnya sebagai Ahli Parlimen kepada pengundi di sini juga tidak lagi popular, dengan popularitinya sekitar 50 peratus.

Sumber PDP beberapa kali secara terbuka mahu kerusi itu dikembalikan kepada parti komponen BN itu, berbanding Teras yang bukan anggota parti pemerintah itu.

PDP mempunyai  tiga ayam tambatan untuk mengambil alih tempatan Mawan, iaitu usahawan Subeng Mula dan Basil Thomas dan pengamal perubatan Dr James Chella, dengan Basil dilihat agak agresif mula bergerak di akar umbi.

Persolan sekarang, kata pengamat politik, adalah sama ada Mawan bersedia untuk berundur.

Tetapi pemimpin Iban itu pernah menyatakan sedia terjun dari tingkat lima bangunan jika diarahkan berbuat demikian oleh pemimpin parti.

Maksudnya, beliau sedia akur kepada sebarang arahan parti.

Pada PRU lalu, Mawan yang ketika itu menjadi Presiden SPDP menewaskan Ali Biju dari PKR dengan majoriti 2,081 undi sahaja.

Kedudukan Mawan tergugat kerana BN secara terbuka sudah menyatakan tidak akan membenarkan seseorang mewakili dua kawasan, iaitu Parlimen dan DUN.

Kini hanya Mawan dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memiliki keistimewaan itu.

Namun, Uggah hampir pasti akan melepaskan kerusi Betong kepada calon lain dalam PRU nanti, dengan nama Robert Chuat kini melantun di papan atas sebagai calon PBB.

Mawan yang dilihat sering melompat parti pernah memohon untuk menyertai PBB sebelum ini, namun difahamkan belum membuat permohonan menyertai PDP kerana itu pasti dilihat bagai menjilat ludah sendiri. – Sarawakvoice