Jambatan Batang Lassa rangkai Sibu-Daro dalam tempoh tiga tahun : Abang Jo

DARO: Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam mengumumkan persetujuan Kerajaan Negeri untuk membina sebuah jambatan yang akan menyeberangi Batang Lassa di tengah Sarawak, sekali gus merangkaikan penduduk di kawasan Dun Semop, Daro dan Jemoreng.

Ketua Menteri berkata, pembinaan jambatan sejauh 3.5 kilometer yang dianggarkan bernilai RM400 juta itu akan menjadi pelengkap kepada jalan pesisir di negeri ini, seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan kawasan berkenaan.

“Ia juga membuktikan komitmen kita terhadap pembangunan kawasan luar bandar Sarawak, dan kita akan teruskan apa yang diperjuang oleh Allahyarham Tok Nan sebelum ini,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Daro di sini pagi semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Igan, Datuk Abdul Wahab Dollah, Adun Daro Shafie Ahmad, Adun Semop Abdullah Saidol dan Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut mengumumkan projek pembinaan Masjid Daerah Daro dengan peruntukan RM5 juta, selain perumahan SPEKTRA dan projek pembangunan fasa kedua Pekan Daro.

Ketua Menteri menambah, pembinaan jambatan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dan beliau akan berbincang dengan pihak konsultan untuk mengenal pasti tapak dan reka bentuknya sekembali ke Kuching.

Ia jambatan kedua yang merangkaikan kawasan tersebut selepas Jambatan Batang Igan yang kini sedang dalam proses kerja-kerja kejuruteraan.

Kata Abang Johari, seperti Tok Nan, beliau juga mahukan masyarakat luar bandar mendapat perkhidmatan terbaik.

“Banyak lagi kekurangan yang perlu diatasi termasuk bekalan air bersih,” katanya lagi.

Untuk itu katanya, Kerajaan Negeri telah merancang kaedah baharu pembekalan air bersih di seluruh negeri, dan beliau berharap krisis air di negeri ini akan selesai dalam tempoh lima tahun.

Pada majlis tersebut, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas-bekas Adun kawasan ini yang sanggup membuka laluan kepada pemimpin baharu dan muda, tanpa rasa ralat dan mengikut budaya transisi parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.

Beliau memaksudkan peralihan kuasa yang lancar di Dun Daro membabitkan Dr Murni Suhaili dan Shafie serta Abu Seman Jahwie dan Datuk Dr Juanda. – Sarawakvoice