Dun Satok bangunkan sistem profil dan data berpusat dengan Unimas — Abang Jo

KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Satok akan menjadi kawasan pertama di negeri ini yang memiliki  sistem profil dan data bersepadu, melalui satu perisian yang akan dibangunkan oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, perlaksanaan sistem ini amat sesuai dengan transformasi negeri ini yang kini sedang menjayakan ekonomi digital.

“Melalui sistem data bersepadu ini, segala maklumat yang ada dalam setiap 14 kampung di DUN tersebut akan diletakkan dalam pangkalan data berpusat.

“Dan sekiranya, ketua kaum, pemimpin lain dan penduduk kampung mahukan maklumat terkini dan ‘real-time’ mengenai kawasan mereka, mereka boleh mendapatkannya dengan pantas, tepat dan hanya menggunakan kaedah ICT,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri KRT Zon Satok di Kompleks Sukan Satok di Kampung Patingan di sini, semalam.

Katanya, ketika ini banyak penduduk asal Satok yang berpindah keluar, dan ada yang menjadi penghuni baharu di sini, termasuk mereka dari luar negara.

“‘Orang luar’ ini menyewa di kawasan Satok kerana lokalitinya yang strategik dan dekat dengan pusat bandar.

“Dan dengan adanya kemudahan sistem data ini, maka pemimpin kampung akan dapat mengetahui maklumat mengenai penghuni baharu tersebut, melalui jaringan ICT.

Apa juga projek pembangunan di kawasan Satok dan statusnya akan dapat dipantau secara langsung oleh pemimpin terbabit, jelasnya.

Pada majlis yang sama, beliau yang juga Adun Satok mengumumkan semua jalan dan parit di Kampung Segedup akan dinaik taraf dengan kos RM3 juta.

“Tidak cukup dengan itu, kita akan membangunkan sebuah skim perumahan baharu di belakang Ibu Pejabat Briged Sarawak di Batu Kawa.

“Rumah-rumah mampu milik ini dibangunkan untuk membolehkan generasi kedua Kampung Segedup dapat memiliki rumah sendiri yang lebih murah.

Kata Abang Johari lagi, pihaknya juga akan mengusahakan projek pembesaran Kampung Sungai Maong dan perancangan ke arahnya sedang dilaksanakan.

“Perancangan telah dibuat oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei untuk menghubungkan kedua-dua kampung ini.

Lebih seribu tetamu hadir pada majlis tersebut biarpun dalam keadaan hujan.

Turut hadir bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Wahab Abang Julai, Pengerusi UNMAS, Datu Dr Hatta Solhi dan Pengerusi Pengelola, Karim Abang. – Sarawakvoice