Amanah minta Gerakan jujur tegur isu Rumah Mampu Milik, PR1MA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda Amanah Nasional Mohamad Ammar Atan dalam kenyataan media Jumaat lepas menegur Gerakan Pulau Pinang baru-baru ini yang mempersoalkan tindakan kerajaan Pulau Pinang melulus dan membina projek pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) pada harga sekitar RM100,000.

Kenyataan Gerakan dilihat seperti “meludah ke langit, terkena muka sendiri”.

Pemuda Amanah mahu Gerakan memberanikan diri agar menegur Kerajaan Pusat terlebih dahulu berkaitan isu perumahan tersebut.

Mohamad Ammar Atan

Bagi Amanah, sekiranya Gerakan jujur melihat dasar perumahan BN pada hari ini, maka ia jelas turut tidak berperikemanusiaan jika menggunakan pendirian yang sama digunakan Gerakan.

Ammar merujuk kepada ucapan belanjawan 2013 yang menaikkan had harga rumah maksimum daripada RM200,000 kepada RM400,000 bagi rumah mampu milik, dan dasar ini terus kekal pada hari ini.

Bahkan, PR1MA kini tidak lagi dikhususkan untuk golongan berpendapatan sederhana.
Bagi Amar dengan harga pada hari ini, berapa ramai rakyat Pulau Pinang yang mampu membelinya?

Beranikah Gerakan menegur “tuan besar mereka” berkaitan dasar diamalkan hari ini.

Bagi Ammar, ketidakjelasan Gerakan menyebabkan kesalahan diarahkan kepada pihak tidak tepat dan membiarkan yang salah bertepuk tangan.

Malah, hujah Gerakan menyandarkan semata-mata jumlah stok rumah yang tidak terjual menggambarkan kononnya berlakunya masalah perumahan kritikal di Pulau Pinang juga tidak tepat.

Ini kerana isu lebih besar daripada ini ialah ketidakmampuan rakyat mengumpul modal atau pinjaman yang berpunca daripada taraf pendapatan yang rendah.

Hal ini berkaitan kegagalan kerajaan BN menguruskan dasar tenaga kerja demi memastikan pendapatan rakyat terus meningkat sepadan dengan tahap produktiviti negara, kenaikan kos sara hidup, laba ekonomi setiap tahun.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan nilai ekonomi dijana melalui perkhidmatan dan barangan yang dihasilkan oleh tenaga kerja Malaysia hanya sampai sekitar 35 peratus kepada pekerja sebagai bayaran gaji (dari KDNK).

Di bawah pembangunan RMM juga terdapat pelbagai jenis harga rumah yang diketegorikan berdasarkan taraf pendapatan rakyat yang berasal dari Pulau Mutiara itu.

Malah, harga permulaan rumah mampu milik bawah kerajaan negeri bermula pada RM42,000 adalah lebih rendah berbanding polisi nasional PR1MA yang bermula pada paras RM100,000.

Berikut ialah kategori harga rumah mampu milik berdasarkan pendapatan rakyat:
– Pendapatan suami dan isteri tidak melebihi RM2,500 Untuk Rumah Mampu Milik A harga maksimum RM42,000;
– Pendapatan suami dan isteri tidak melebihi RM3,500 Untuk Rumah Mampu Milik B harga maksimum RM72,500;
– Pendapatan suami dan isteri tidak melebihi RM6,000 Untuk Rumah Mampu Milik C1 harga maksimum RM150,000;
– Pendapatan suami dan isteri tidak melebihi RM8,000 Untuk Rumah Mampu Milik C2 harga maksimum RM200,000;
– Pendapatan suami dan isteri tidak melebihi RM10,000 Untuk Rumah Mampu Milik C3 harga maksimum RM300,000;

Apapun menurut Ammar, mengambil kira beberapa isi utama yang cuba disampaikan oleh pihak Gerakan berkaitan masalah perumahan ini, Amanah dan Pakatan Harapan turut berkongsi cita-cita yang sama melihat perumahan di Malaysia dan bukan sahaja di Pulau Pinang berada dalam keadaan kondusif.

Ini sejajar dengan perkembangan ekonomi rakyat secara keseluruhannya.

Sewajarnya, usaha meletakkan had maksimum jenis rumah mampu milik dimulakan di pihak kerajaan pusat dan seterusnya diselaraskan ke seluruh negara. – Sarawakvoice