Abang Jo tambah peruntukan Galeri Warisan Melanau, kini telan kos RM3.1 juta

DALAT: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memuji Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah atas usaha dan gagasannya membina Galeri Warisan Melanau.

Fatimah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat sebelum ini mencadangkan pembinaan bangunan tersebut bagi memulihara kebudayaan Melanau yang dapat mencerminkan kekayaan khazanah Sarawak.

Kredit Foto Moon Ulan

Fatimah selaku Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Oya (LAKMO) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat mengambil inisiatif membina Galeri Warisan Melanau di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Memetik laporan Utusan Borneo pada Isnin, pada Majlis Pecah Tanah Galeri Warisan Melanau Sempena Aidilfitri Peringkat Daerah Dalat di Stadium Perpaduan Dalat, Abang Johari mengumumkan berita baik.

Abang Johari bersetuju menambah peruntukan RM2 juta membiayai pembangunan Galeri Warisan Melanau berkenaan.

Kini, pembinaan galeri yang dipercayai dapat membantu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi Mukah itu yang asalnya bernilai RM1.1 juta meningkat kepada peruntukan baharu iaitu RM3.1 juta.

Tapak galeri berkenaan yang menempatkan budaya dan adat tradisi Melanau termasuk rekod aktiviti ekonomi kaum itu, diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Survei pada 22 Jun lalu.

Abang Johari memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bahawa “jika ingin melihat budaya menjadi satu ikatan kukuh, Sarawaklah modelnya”.

Justeru, sesuai Sarawak mempertahankan kebudayaan serta mempraktiskannya.

Kini, kebudayaan dapat menjana ekonomi jika dikaitkan dengan industri pelancongan negeri.

Menjadi tugas generasi yang ada menjaga kekayaan dari kepelbagaian budaya setiap etnik di negeri ini. – Sarawakvoice