Abang Jo mahu Pekema realisasikan kenderaan elektrik dan hidrogen di Sarawak

KUCHING: Peniaga-peniaga kenderaan import di negeri ini digesa untuk membantu Kerajaan Negeri dalam merealisasikan impian mewujudkan kenderaan mesra alam di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini boleh dilakukan oleh Pekema atau Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, dengan membawa masuk malah mengeluarkan kenderaan-kenderaan mesra alam, yang dijana menggunakan kuasa elektrik.

“Telah berlaku inovasi dalam industri kenderaan dan Pekema boleh terlibat dengan memperkenalkan kenderaan-kenderaan ini.

“Kerajaan Negeri boleh membantu dari segi kewujudan stesen pengecas, kerana dengan memiliki kesemua janakuasa elektrik, termasuk Bakun, kita dapat mengawal tarif elektrik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Ngiling Tikai Pekema di Hotel Hilton malam tadi.

Abang Johari yang ditemani oleh Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf dan Pengerusi Pekema Sarawak, Datuk Seri Abang Khalid Marzuki.

Kata Abang Johari, beliau yakin industri kereta elektrik dan mesra alam akan muncul sebagai industri penting masa depan.

“Saya baru-baru ini berpeluang melawat sebuah kilang yang mengeluarkan kenderaan berasaskan elektrik di Newcastle, England.

“Kenderaan ini menggunakan bateri dan kilang ini mampu mengeluarkan lebih 900 ribu kenderaan setahun,” jelasnya.

Pada masa yang sama katanya, pengeluar kenderaan dari Sarawak juga boleh memikirkan untuk mengeluarkan kenderaan yang berasaskan kuasa hidrogen, dan menggunakan tenaga air untuk menghidupkan kenderaan.

“Ini merupakan teknologi masa depan dan telah wujud, dan saya berharap, sesuai dengan status sebagai negeri yang bersandarkan ekonomi digital, kita akan dapat menjadi sebahagian daripada teknologi ini.

“Saya akan ke Paris, Perancis pada Oktober depan bagi melihat teknologi baharu, dan berharap Pekema boleh bersama dalam rombongan,” katanya lagi. – Sarawakvoice