DARO: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menekankan tiga perkara semasa berucap pada majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Tapak Pesta Daro pada Sabtu.

Pertama beliau berjanji meneruskan tradisi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud semasa menjadi Ketua Menteri iaitu menjamin untuk membimbing pemimpin baru mengikut tradisi Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam mengambil alih tampuk kepimpinan parti pada masa depan.

Abang Johari berkata beliau mengamalkan kata-kata hikmat pepatah Melayu “patah tumbuh hilang berganti”, dengan suatu hari nanti orang lain mengambil alih teraju kepimpinan negeri, tetap dengan budaya PBB yang mementingkan kehendak rakyat.

Kedua, Abang Johari berjanji meneruskan dasar bekas Ketua Menteri kelima Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang membawa kemenangan besar kepada PBB dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut bertekad mencapai kemenangan besar pada pilihan raya akan datang sebagaimana Adenan mampu memenangi 72 daripada 82 kerusi semasa Pilihan Raya Negeri Ke-11 pada 2016.

Sementara ketiga, Abang Johari melahirkan rasa bangga kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengiktiraf Sarawak sebagai negeri contoh di Malaysia dalam aspek kekuatan ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan pegangan agama.

Abang Johari berkata dengan kukuhnya perpaduan di kalangan rakyat, dengan sendirinya memberi peluang dna memudahkan pemimpin menumpu sepenuhnya usaha membangun kawasan yang diwakili oleh mereka. – Sarawakvoice