Minggu lalu saya diminta oleh seorang rakan memanjangkan jemputan untuk menghadiri program bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang bakal diadakan pada penghujung bulan Julai ini.

Katanya, pihak penganjur mahu mengumpulkan sekumpulan ahli akademik untuk berdialog bersama Tun M mengenai masa hadapan Malaysia.

Bertemu, berjumpa dan berdialog dengan Tun M, woww… ini tentunya satu peluang baik kepada ahli-ahli akademik yang bergelar doktor, profesor madya dan profesor untuk mengajukan pelbagai soalan kepada Tun M.

Tanpa sebarang prasangka negatif, maklumat undangan itu saya muat naik ke tiga kumpulan WhatApps yang saya sertai.  Butir-butir mengenai program tersebut saya sertakan.

Kesemua ahli akademik yang berada dalam kumpulan WhatApps itu berjumlah lebih 90 orang kesemuanya dan berada di kebanyakan IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia.

Kebanyakan mereka ialah rakan penyelidik dan kenalan saya dalam bidang sains sosial, kemanusiaan, hubungan etnik, sejarah dan politik Malaysia. Setakat untuk bertanya soalan dan berhujah dengan Tun M saya fikir kumpulan ini tidak ada masalah.

Saya agak sedikit khuatir sebenarnya. Bagaimana jika yang ingin hadir itu melebihi jumlah yang diminta oleh pihak penganjur. Adakah mereka akan digugurkan? Bagaimana saya akan menjawab kepada rakan-rakan sekiranya perkara ini berlaku? Tun M bukan calang-calang orang, tarikannya masih ada, fikir saya.

Hampir 12 jam selepas di muat naik, saya dapati hanya ada tiga orang sahaja yang menyatakan mereka berminat untuk hadir. Apa betulkah ini? Saya seakan-akan tidak percaya.

Oleh kerana sambutan yang begitu dingin, beberapa persoalan pantas bermain di minda saya. Adakah mereka yang berada dalam kumpulan WhatApps ini tidak membaca jemputan tersebut? Adakah mereka terlalu sibuk? Takut? Atau apa sebenarnya.

Tidak puas hati dengan respons daripada kumpulan WhatApps, saya panjangkan jemputan tersebut salah seorang rakan yang bertaraf Profesor secara personal. Cepat dibalasnya dengan mengemukakan satu ungkapan ringkas, “Waras lagi ke Tun M ni?”.  Saya hanya berdiam diri sahaja dan memilih untuk tidak menjawab soalan itu.

Lalu seorang lagi rakan yang juga bertaraf Profesor saya panjangkan jemputan itu. Beliau memilih untuk memberi respons agak pantas tetapi penuh dengan secara sinikal juga. “…Tun M sudah tidak ada idea baharu. Ideanya hanyalah menjatuhkan Najib sahaja, tidak lebih daripada itu…tidak menarik minat saya langsung”.

“Waktu berkuasa selama 22 tahun, Tun M tidak meminda undang-undang mengehadkan penggal seseorang PM boleh berkuasa. Jika Malaysia mempunyai undang-undang sebegitu, tentunya beliau sudah boleh berehat dengan tenang sekarang dan tidak lagi perlu berkempen untuk menjatuhkan PM.

Cukup tempoh yang ditetapkan, ialah PM baru yang dilantik kemudiannya. Sehingga sekarang kita tidak pernah dengar Tun M kemukakan cadangan untuk hadkan tempoh PM sekiranya  Pakatan Harapan menang. Atau apa-apa idea baharu…Tun M ini sudah kekeringan idea…”.

Membaca respons yang diberikan, saya terus hilang minat untuk menghantar jemputan kepada rakan lain yang tidak berada dalam kumpulan WhatApps.

Jangkaan saya ternyata meleset. Pada awalnya, saya jangka sekitar 15 orang atau 20 orang ahli akademik  mungkin akan hadir memenuhi undangan tersebut. Realitinya hanya tiga orang sahaja, daripada 90 orang menyatakan mereka bersetuju untuk hadir.

Adakah ini memberi gambaran bahwa Tun M tidak lagi disanjungi seperti suatu masa dahulu? Pengalaman dalam kumpulan WhattApps ini tidaklah saintifik, tetapi sedikit banyak ia memberi gambaran bahawa Tun M sudah kekeringan idea dan tidak lagi menarik. – Sarawakvoice