KUCHING: Bermula semalam, Sabtu dan hari ini rakyat berpendapatan RM2,500 hingga RM15,000 sebulan, berpeluang meninjau proses memiliki rumah di bandar raya Kuching yang ditawarkan Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Bertempat di tapak pejabat jualan PR1MA di Metrocity pengunjung yang menghadiri Hari Terbuka PR1MA boleh menyemak kelayakan, khidmat peguam bagi urusan jual beli, termasuk urusan pinjaman bank bagi yang layak.

PR1MA menawarkan Skim Pembiayaan Fleksible (SPEF) yang menawarkan jumlah pinjaman tinggi dengan bayaran balik secara ansuran bulanan mengikut kemampuan pemohon.

SPEF usahasama Bank Negara Malaysia, KWSP dan institusi kewangan yang ditawarkan kepada pembeli rumah mula ditawarkan Februari lepas.

SPEF mampu menawarkan pinjaman tinggi berbanding pinjaman secara konvensional dengan pembeli rumah boleh menikmati ansuran bulanan serendah RM800 sebulan tertakluk kepada syarat dan kelayakan.

Perbadanan PR1MA Malaysia ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 khusus bagi merancang dan membangun perumahan smemenuhi gaya hidup isi rumah berpendapatan sederhana di pusat utama bandar.

Memetik Bernama, di Sarawak PR1MA merancang membangunkan sekitar 15 projek membabitkan lebih 17,000 unit rumah.

Daripada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM5.5 bilion, sebanyak 1,581 unit rumah sudah berada dalam pasaran.

Projek perumahan PR1MA yang ditawarkan sekarang di Kuching terletak di kawasan Matang, menawarkan sekitar 900 unit rumah dan 1,320 unit dalam projek di Bintawa.

Projek PR1MA lain menyusul dicadangkan di kawasan Semenggoh. – Sarawakvoice