KUALA LUMPUR:  Impian Pakatan Harapan untuk menguasai Putrajaya dalam PRU-14 semakin jauh dan berliku selagi Pas tidak bersama pakatan pembangkang berkenaan.

Itulah kepercayaan dan keyakinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Tanpa sokongan pengundi Pas, tentunya DAP dan PKR tidak mencapai kemenangan ini. Tanpa sokongan Pas, tentunya DAP dan PKR tidak akan kuat lagi” tulisnya  dalam catatan di blognya sskeruak,blogspot.my, hari ini..

“Bayangkan tanpa Pas, sejumlah 70 peratus pengundi Pas dalam PRU 2013 tidak lagi mengundi pakatan pembangkang?  Dengan peralihan undi sejumlah ini, kekuatan pembangkang tentunya tempang,” katanya lagi.

Menurut Salleh,  pencapaian besar DAP dan PKR dalam PRU 2008 dan 2013 adalah kerana sokongan Pas yang bergabung dalam Pakatan Rakyat.

Disebabkan berang dengan DAP, Pas tidak lagi bersama-sama pakatan berkenaan sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat dijenamakan semula menjadi Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan kini dianggotai DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.

Katanya, PKR dan Parti Amanah Negara tidak boleh membantu pembangkang untuk menarik undi Melayu kerana kedua-dua parti tersebut tidak mempunyai tapak politik yang kukuh dan gabungan mereka rapuh.

“Dengan kekurangan ini, tentunya Pakatan Harapan yang baharu ditubuhkan tidak mendapat keyakinan pengundi,” katanya.

Salleh menegaskan, pencapaian besar DAP dalam politik negara  hanya tercapai dalam PRU 2008 apabila bekerjasama dengan Pas dan menyaksikan DAP memenangi 28 kerusi dan PKR 31 kerusi.

Melalui kerjasama berterusan dengan Pas pada PRU 2013, DAP menang 38 kerusi dan PKR (30).

“Dahulu ketika DAP bertanding sendirian, pencapaian parti itu adalah jauh daripada memberangsangkan.  Dalam PRU 1969 semasa pembangkang menang besar, DAP hanya memenangi 13 kerusi, 1974 (9), 1978 (16), 1982 (9), 1986 (24), 1990 (20) dan 1995 (9),” kata Salleh.

Seramai 84.84 peratus keluar mengundi daripada jumlah 13,268,002 pengundi berdaftar pada PRU13 dengan keputusan Barisan Nasional (BN) memperoleh 5,237,699 undi,  Pas (1,633,389 undi), DAP (1,736,267 undi), dan selebihnya parti-parti lain.

Sesungguhnya, tambahnya, sejarah menunjukkan Pas adalah tunjang kepada kekuatan pembangkang sepertimana Umno adalah tunjang kepada kekuatan BN. Kini realitinya, DAP ialah tunjang  Pakatan Harapan. – Sarawakvoice