Pencarum KWSP bersara diminta elak muslihat sindiket pelaburan skim cepat kaya

KOTA KINABALU: Ahli atau pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khususnya yang layak membuat pengeluaran simpanan, kerap menjadi sasaran penipuan sindiket skim cepat kaya.

Justeru, mereka diingatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya mengelak dijadikan mangsa sasaran sindiket terbabit.

Modus operandi sindiket biasanya menawarkan pakej atau skim pengeluran simpanan keseluruhan agar mangsa melabur wang mereka yang kononnya mampu memberi pulangan lumayan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan mengingatkan pencarum yang terpedaya dengan penipuan sindiket akhirnya menghadapi implikasi kewangan serius.

Menurut beliau, pihak tidak bertanggungjawab hanya berminat mendapatkan wang daripada pencarum dan akhirnya membiarkan mangsa terkapai-kapai selepas itu.
Seperti dilaporkan Bernama, Shahril selepas majlis perasmian “Bicara Bersama KWSP” yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman diwakili Menteri Tugas Khas

Datuk Teo Chee Kang pada Sabtu, turut mengingatkan pencarum mengelak menggunakan khidmat tidak bertauliah yang diatur sindiket terbabit mengeluarkan wang mereka daripada simpanan.

“(Sindiket) memberi jaminan atau syor kepada anggota (pencarum KWSP) bahawa mereka boleh mengeluarkan duit dan sindiket itu akan mengambil antara 30 peratus dan 40 peratus,” kata Shahril.

Menurut beliau, KWSP menyediakan skim pengeluaran untuk ahlinya selain memberi khidmat nasihat percuma berkaitan pengurusan wang simpanan persaraan mereka.
Program dua hari “Bicara Bersama KWSP” yang berakhir hari ini, Ahad, merupakan sebahagian kempen celik kewangan KWSP dalam merangka pelan persaraan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Pada program ini pencarum berpeluang menyemak penyata KWSP serta mendapatkan nasihat percuma daripada pegawai khidmat persaraan yang turut menyediakan nasihat dalam bahasa Kadazan Dusun.

Sementara itu, Shahril turut mengumumkan bahawa pada suku pertama 2017, prestasi KWSP memberangsangkan selepas didorong pasaran saham di Bursa Saham, sehingga memperoleh keuntungan 50 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas. – Sarawakvoice