Pas mahu tanding semua 15 kerusi Parlimen, 36 DUN di Kedah

ALOR STAR: Pas Kedah bersedia untuk bertanding di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, namun keputusan akhir tertakluk kepada pendirian Pas Pusat.

Pesuruhjaya Pas Negeri Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, memandangkan suasana politik hari ini berbeza daripada senario PRU yang lalu,  Pas Kedah bersetuju untuk sedia bertanding di 36 kerusi DUN Kedah dalam PRU ke-14.

“Keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi Pas Kedah walau bagaimanapun, tertakluk kepada kehendak Pas Pusat berasaskan kajian yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkenaan dengan mengambil kira kewujudan blok Gagasan Sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Pas Kedah berpendirian bahawa sudah tiba masanya jentera pilihan raya Pas kawasan merintis semula kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi rakan parti politik PAS suatu ketika dahulu ketika ia berada dalam Pakatan Rakyat.

Hal ini, katanya, supaya persediaan yang dibuat dapat meyakinkan rakyat bahawa Pas parti sebaiknya menjadi pilihan mereka.

Dalam  Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Pas bertanding 24 kerusi DUN, dengan mengekalkan bilangan kerusi ditandingi  pada PRU Ke-12.

Manakala jumlah kerusi Parlimen ditandingi pada 2008 dan 2013 ialah lapan kerusi.

Perubahan landskap politik, katanya, ialah kesan daripada pengisytiharan DAP bahawa Pakatan Rakyat telah berkubur serta tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sering membelakangkan tahaluf siyasi ketika bersama-sama Pas sehingga muktamar membuat keputusan memutuskan persefahaman politik antara kedua-dua parti berkenaan,

“Telah menjadi tradisi PAS untuk meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu menentang BN, namun pada PRU ke-14 ini PAS cuba meneroka kerusi majoriti 60 peratus Melayu atau meletakkan calon DHPP di kerusi yang berpotensi,” tambahnya. – Sarawakvoice