PUTRAJAYA: Kementerian Luar Malaysia sebentar tadi mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Israel menutup Masjid Al-Aqsa bermula Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia berpandangan tindakan rejim Zionis menghalang para jemaah untuk menziarahi masjid itu merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa dan biadap.

“Ini merupakan kali pertama sejak 1969, umat Islam dihalang untuk menunaikan solat fardhu Jumaat di masjid tersebut.

Tindakan provokatif oleh pihak Israel ini dilihat sebagai ancaman serius terhadap hak umat Islam melaksanakan ibadah mereka.

“Kebebasan untuk melaksanakan ibadah merupakan hak yang termaktub di bawah undang-undang antarabangsa, dan sebarang pelanggaran terhadapnya hendaklah dibangkang.

“Malaysia menuntut pihak Israel agar membuka semula masjid tersebut kepada penganut Islam dan melonggarkan tindakan yang boleh mengubah status-quo tapak suci Islam itu. – Sarawakvoice