Jika Masing anak jantan, dedahkan kumpulan pecahkan kaum Dayak

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Jemut Masing memang pemimpin yang berani dan lantang bercakap.

Ya, lebih-lebih lagi dalam mempertahankan kaum Dayak. Inilah jenis pemimpin baharu yang dituntut pada zaman ini, bukannya pemimpin yang hanya mengampu dan hanya pandai mengucapkan kasih sayang seribu kali kepada pemimpin atasan.

Ya, tidak ada pemimpin Dayak yang lebih berani daripada Masing pada ketika ini.

Masing satu-satunya pemimpin Dayak dalam kerajaan yang bercakap tanpa takut dan gentar meskipun mungkin sahaja meletakkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari dalam keadaan yang serba salah.

Tetapi bagi Masing, persetankan semua itu.

Kalau meminjam ungkapan dalam bahasa Inggeris, Masing bercakap ‘without fear or favour’.

Kenyataan terbaharu bekas pemimpin Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) ini, lagi menggemparkan.

Masing mendakwa untuk berdekad-dekad kumpulan tertentu telah bekerja keras untuk memecahbelahkan masyarakat Dayak bagi memastikan  kaum berkenaan kekal berkuasa.

Sudah terang lagi bersuluh, anda tidak perlu memiliki PhD untuk mengetahui siapa yang dimaksudkan oleh pahlawan Iban itu.

Masing hanya tidak menyatakan secara terus terang dan secara spesifik siapa kumpulan berkenaan.

Tentu beliau dapat diangkat menjadi Bujang Berani  dan wira Dayak yang sebenarnya jika beliau mendedahkan secara terus terang, tanpa berselindung-selindung, kumpulan yang beliau maksudkan itu.

Kenyataan Masing disiarkan  sebuah portal yang berpangkalan di Kuala Lumpur beberapa hari lepas.

Alangkah bagusnya jika Masing tidak membiarkan sesetengah pembaca berteka-teki.

Jika Masing seorang jantan, Masing tidak harus membiarkan orang ramai mencari jawapan.

Beliau perlu dedahkan siapa dan kumpulan mana yang mempunyai strategi untuk memecahkan masyarakat Dayak sehingga mereka gagal berkuasa di negeri 2.7 juta penduduk ini.

Sekali gus menyebabkan, kaum berkenaan terus berkuasa sehingga kini, dan menyebabkan orang seperti Masing tidak dapat menjadi Ketua Menteri.

Adakah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu? Atau ada kaum tertentu? Sila namakan.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata bahawa parti pimpinannya disekat daripada tumbuh dan berkembang dari  segi saiz dan pengaruh oleh kumpulan terbabit.

Masing tidak harus mencari kambing hitam hanya kerana kegagalan beliau sendiri memimpin parti berkenaan.

Kalau PRS tidak berkembang dan tidak berpengaruh, jangan katakan orang lain atau kumpulan tertentu yang menyebabkan keadaannya demikian.

Masing sendirilah yang harus dipersalahkan.

Dengan terus terang Masing berkata, parti pimpinannya tidak berkembang kerana terdapat campur tangan pembangkang dan Barisan Nasional.

Ini suatu kenyataan yang menarik, dan para wartawan perlu bertanya soalan lebih lanjut kepada Masing.

“Kaum Dayak tidak dibenarkan untuk menjadi terlalu kuat kerana kami kumpulan majoriti,” katanya, sambil menambah jika Dayak menjadi terlalu kuat, kumpulan terbabit bimbang akan ‘dimakan’.

PRS merupakan parti serpihan PBDS, dan kini mempunyai 11 kerusi daripada 40 kerusi yang dikuasai Parti Pesaka Bumiputera (PBB). Sarawak mempunyai 82 kerusi Dewan Undangan negeri.

Hakikatnya, kaum Dayak tidak harus mempersalahkan orang lain kalau mereka dalam keadaan sekarang.

Mereka kini berada dalam semua parti di Sarawak, termasuk parti dominan Cina, SUPP. Mereka turut menganggotai PBB, PDP, Teras, dan semua parti pembangkang.

Pada dekad 1960-an, pemimpin Dayak daripada etnik Iban, iaitu Stephen Kalong Ningkan dan Tawi Sli pernah menjadi ketua menteri pertama dan kedua Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Parti Dayak tidak dapat menjadi parti utama di negeri ini, kata Masing, kerana berdepan dua hambatan utama.

Pertama, usaha berterusan komuniti tertentu yang untuk berdekad-dekad berusaha memecahkan masyarakat Dayak, agar mereka dapat berkuasa.

Kedua, masalah yang ditimbulkan oleh kaum Dayak sendiri — sekali gus ‘menjadi musuh terjahat mereka,’ akuinya.

“Kaum Dayak tidak harus menyalahkan orang lain kerana mereka berada dalam keadaan sekarang, kerana kesalahan politik mereka, dan ketidakstabilan mereka. Kita perlu melihat ke dalam diri, mencari di mana kita silap. Hanya dengan itu kita dapat berkembang,” katanya.

Namun, beliau mengakui, kaum Dayak tidak harus menyalahkan orang lain

Masalah parti Dayak, kata Masing, ia tidak dapat melangkaui seorang presiden pengasas. Selepas presiden pengasas, sesebuah parti berpecah.

Untuk itu, katanya, bagi pilihan raya umum (PRU)  akan datang, beliau akan memastikan calon yang ditampilkan komited untuk memperbaiki taraf hidup dan keadaan masyarakat Dayak, selain mereka yang memiliki kesetiaan tanpa berbelah bagi kepada PRS.

Dan secara tersirat bermaksud, tentunya yang juga setia kepada beliau.

Untuk ketika ini, Masing dicabar untuk mendedahkan dan menamakan kumpulan yang memecahkan kaum Dayak sehingga tidak dapat berkuasa, dan menyebabkan kaum lain kekal berkuasa sehingga kini.

Untuk sementara, kita boleh angkat Masing sebagai Bujang Berani dengan bersyarat — iaitu dedahkan nama kumpulan berkenaan.