Sebagai rakyat Malaysia kita menyatakan kesyukuran dan terima kasih kepada Raja Salman Penjaga Dua Tanah Suci atas kemurahan hati baginda untuk membiayai penubuhan sebuah Pusat Keamanan Antarabangsa di Malaysia yang dinamakan sempena nama baginda.

Persetujuan Kerajaan Malaysia bagi menjayakan hasrat Kerajaan Arab Saudi ini diharapkan akan memperkukuhkan lagi hubungan dua-hala Malaysia-Arab Saudi.

Ia bukan hanya dalam mempertingkatkan kuota dan kemudahan menunaikan haji bagi umat Islam di Malaysia, tetapi memberi peluang yang lebih banyak dan besar kepada syarikat-syarikat Malaysia melaksanakan kerjasama projek-projek ekonomi dan perdagangan antara kedua negara.

Sebagai sebuah  badan pemikir yang mengambil berat terhadap isu-isu strategik bagi umat Islam semasa, Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) berasa terpanggil untuk mengemukakan beberapa pandangan dalam usaha Kerajaan Malaysia memposisikan King Salman Centre for International Peace (KSCIP) demi menjamin kredibiliti dan integriti KSCIP di peringkat nasional dan global.

Hal ini kerana meskipun idea penubuhan KSCIP telah lama diuar-uarkan, perincian terhadap visi, misi, polisi dan objektifnya masih kabur bagi rakyat Malaysia sehingga telah menimbulkan kemusykilan, kegelisahan malah kebimbangan pelbagai pihak khususnya para individu dan organisasi yang mengikuti perkembangan radikalisme, ekstremisme dan terorisme dunia hari ini yang dikaitkan dengan agama Islam dan umatnya.

Sudah pastinya Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi perlu memutuskan perkara-perkara asas mengenai mandat dan tadbir urus KSCIP berdasarkan perundangan kedua-dua negara dan antarabangsa disamping memenuhi protokol diplomatik serta menghormati kedaulatan dan kemerdekaan masing-masing khususnya bagi hak dan kepentingan Malaysia yang menjadi tuan rumah atau hos KSCIP ini.

Kesanggupan Malaysia untuk menjadi tuan rumah KSCIP itu sendiri sudah tentu akan mengundang pelbagai reaksi dan risiko keselamatan lebih-lebih lagi ia melibatkan Arab Saudi yang merupakan pemain aktif dalam isu ini diperingkat global.

Dengan  kata lain, meskipun penubuhan KSCIP ini telah dicetuskan daripada keputusan bilateral Kerajaan Malaysia – Arab Saudi, kredibiliti dan integriti KSCIP sebagai sebuah Pusat Keamanan Antarabangsa yang berkesan hanya akan menjadi kenyataan melalui penggemblengan multilateral antara pelbagai negara khususnya negara-negara umat Islam yang berpengaruh.

Inisiatif Keamanan Global bagi menangani radikalisme, ekstremisme dan terorisme lebih-lebih lagi yang dikaitkan dengan agama dan umat Islam yang merupakan keutamaan bagi pemimpin dan kerajaan negara-negara Islam ialah suatu Inisiatif yang kompleks dalam konteks geopolitik multipolar kontemporari.

Pemimpin, Kerajaan atau Negara yang ingin mempelopori atau memimpin inisiatif ini memerlukan kredibiliti, integriti, pengalaman dan keupayaan yang telah dibuktikan dalam sejarah menjayakan inisiatif-inisiatif membina keamanan dan mengurangkan keganasan di pelbagai tempat di seluruh dunia.

Dalam hal ini, pemimpin, kerajaan dan negara, malah rakyat Malaysia terbukti sangat cemerlang. Kita menyumbang dalam proses membina keamanan dan mengurangkan keganasan di Wilayah Mindanao, Selatan Filipina, di Wilayah Patani, Selatan Thailand, di Wilayah Acheh, Indonesia, lama dahulu di Congo, di Bosnia dan Somalia serta pelbagai tempat konflik yang lain.

Malah, sehingga ke hari ini Malaysia masih konsisten memperjuangkan keamanan di Palestin, Khasmir, Uyghur dan paling dekat dan mendesak ketika ini ini wilayah Arakan, Myanmar untuk masyarakat Rohingya yang diakui dunia sebagai Kerajaan paling vokal dan terkedepan dalam isu Rohingya.

Justeru, keistimewaan dan keunikan CV Malaysia dalam inisiatif keamanan global yang tidak dimiliki oleh banyak negara lain sepatutnya menjelmakan kemandirian kita sendiri dalam dunia CVE (Counter Violent Extremism) atau Pencegahan Radikalisme, Extremisme dan Terorisme.

Kemandirian Malaysia dalam menyumbangkan formula keamanan serta mengurangkan konflik sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu sudah sampai masanya untuk diperkenalkan dalam dunia umat Islam yang lain khususnya yang kini sedang bergelora seperti di Syria, Yemen, Libya dan Iraq.

Dalam konteks ini, sangat wajar Malaysia mengungkapkan semula dan memperbaharui konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang telah dicetuskan oleh Malaysia kepada ASEAN dahulu.

Pengungkapan Malaysia sebagai sebuah negara aman, bebas dan berkecuali akan memberikan kredibiliti dan integriti yang tinggi bagi kita untuk membantu menamatkan pertumpahan darah sesama saudara muslim di Syria, Yemen, Libya, Iraq dan kini mungkin akan berlaku di Qatar jika tiada jalan penyelesaian.

KSCIP seharusnya meneliti dan mengungkapkan semula konsep ZOPFAN sekiranya kemandirian Malaysia dalam inisiatif keamanan global ini ingin dipersembahkan kepada dunia.

Meskipun KSCIP perlu menekankan kemandirian Malaysia dalam proses keamanan antarabangsa, KSCIP perlu bijaksana mengembleng negara-negara “Kuasa-Kuasa Besar Islam” atau “Islamic Super Powers” khususnya Turki, Iran, Indonesia dan sudah tentu Arab Saudi untuk duduk bersama-sama mempelopori inisiatif keamanan global yang benar-benar berkesan.

Dalam konteks dunia multipolar yang tidak menentu serta terumbang-ambing ketika ini, Malaysia berwibawa untuk menjadi ‘Soft-Islamic Superpower” kelima, bersama-sama Arab Saudi, Turki, Iran dan Indonesia bagi menjayakan Agenda Keamanan Global.

Jika Malaysia dengan Arab Saudi sahaja yang mengendalikan KSCIP tanpa pelibatan langsung dan tidak langsung Turki, Iran dan Indonesia, dikhuatiri usaha-usaha suci-murni ini tidak akan ke mana-mana.

Hal ini memandangkan Turki, Iran dan Indonesia memiliki kekuatan dan kemampuan mereka yang bukan kepalang dalam mempengaruhi umat Islam secara khusus dan dunia amnya.

Malah, pelibatan langsung Arab Saudi dalam konflik di Syria, Yemen dan kini dengan Qatar sudah pasti mengurangkan kredibiliti dan integriti KSCIP untuk memimpin inisiatif keamanan antarabangsa ditambah pula dengan perseteruan terbuka negara tersebut dengan Iran yang tidak berhabis-habisan.

Sekurang-kurangnya jika Malaysia boleh membawa Arab Saudi dan Iran diiringi dengan Turki dan Indonesia, protokol diplomasi antarabangsa serta maslahah umat Islam boleh dijadikan alasan memperbaiki hubungan antara Arab Saudi dan Iran.

Perkara terakhir yang yang perlu diberi perhatian oleh KSCIP selain dari soal Kemandirian Malaysia dan Pengemblengan Kekuatan Negara Kuasa-Kuasa Besar Islam, ialah soal pembinaan dan penyebaran naratif keamanan yang sepatutnya melangkaui lebih dari hal-hal keselamatan dan politik semata-mata.

Kita perlu menyedari fenomena radikalisme, ekstremisme dan terorisme yang berlaku dikalangan umat Islam yang dicetuskan oleh ISIS/DAESH, Al-Qaeda, Al-Syabab, Boko Haram, JI, Abu Sayyaf, Taliban dan seumpamanya terbit disebabkan faktor kecetekan ilmu dalam kalangan anak muda Islam yang dihimpit dengan tekanan dan kezaliman yang mereka anggap dari musuh-musuh Islam yang perlu diperangi dan dihancurkan dengan apa cara sekalipun.

Respons dan reaksi mereka bersifat destruktif atau mencipta kemusnahan. Sayang sekali kerana kelompok-kelompok ini tidak mendapat pendedahan dan tidak dapat menghargai Islam sebagai agama yang kaya dan unggul dengan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan.

Sesungguhnya, menjadi tanggungjawab dan amanah bagi KSCIP dalam mandat dan governan institusi mereka untuk membina naratif Islam sebagai sebuah peradaban dan tamadun bagi membasmikan fenomena kemusnahan dan keganasan yang disemarakkan oleh anak-anak muda Islam yang telah tercabut atau dicabut akar-umbi tradisi agama mereka yang cemerlang itu.

KSCIP mestilah dipandu oleh wawasan dan gagasan tradisi keilmuan, kerohanian, ketamadunan Islam yang terbina lebih seribu tahun dahulu bukan sekadar perkiraan keselamatan dan politik jangka pendek semata-mata sekiranya mereka benar-benar ingin membina keamanan global yang berkekalan sekali gus menjadi institusi yang berkredibiliti dan berintegriti.

Justeru, ISSI berpandangan bahawa KSCIP mestilah serius mengambil perhatian terhadap tiga isu pokok ini, iaitu:

Pertama,  penegasan kemandirian Malaysia berdasarkan acuan dan track-record kita mengendalikan proses keamanan wilayah sebelum ini dalam segenap aspek pelaksanaan KSCIP.

Kedua,  penggemblengan negara kuasa besar Islam termasuk Turki, Iran dan Indonesia, selain daripada Malaysia dan Arab Saudi bagi mewujudkan inistiatif keamanan yang benar-benar ummatik dan global dalam konteks dunia multipolar.

Ketiga,  pembinaan naratif keamanan global yang tidak bersifat politik dan keselamatan semata-mata tetapi mengemukakan sumbangan dan pencapaian cemerlang tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam ke arah realisasi dan manifestasi keamanan yang lebih holistik, menyeluruh, benar, bermakna serta berkekalan bukan hanya untuk umat Islam malah untuk umat manusia.

*Dr Amran Muhammad ialah Ketua Eksekutif ISSI